Sabtu, 9 March 2024 | 8:30am
Nas terbuka dengan pandangan biarpun ada mempertikaikan pemilihannya bawa watak animasi popular. - NSTP/Aziah Azmee
Nas terbuka dengan pandangan biarpun ada mempertikaikan pemilihannya bawa watak animasi popular. - NSTP/Aziah Azmee

Nas belajar empat jenis seni pertahan diri

KUALA LUMPUR: Berhempas pulas mempelajari empat jenis seni membela diri hingga badan lebam-lebam, mengamalkan diet dan bersenam antara cabaran awal terpaksa dilalui bintang utamanya, Nas Muammar Zara atau Nas sebelum memasuki set filem Keluang Man.

Menyifatkan apa yang dilakukannya sebagai pengorbanan, Nas berkata, segala kesukaran sanggup ditolak ke tepi bagi memastikan watak Keluang Man yang dilakonkannya menepati cita rasa ramai apabila ditayangkan kelak.

"Masuk bulan ini, sudah bulan keempat saya menjalani latihan sebagai persiapan memasuki set filem ini.

"Untuk fasa ini, saya kena belajar empat jenis seni mempertahankan diri iaitu silat, judo, jujutsu dan 'kick boxing'.

"Saya juga belajar mengenai ilmu lagak ngeri kerana terdapat babak yang memerlukan saya lakukan aksi 'stunt' sendiri. Kalau tiada asas, mungkin boleh cederakan diri sendiri.

"Semua jenis seni bela diri yang dipelajari akan saya gunakan dalam naskhah ini.

"Setiap sesi latihan ambil tiga jam. Disebabkan banyak sangat kardio, badan semakin menyusut dan berat badan saya menyusut lima kilogram (kg).

"Saya tak boleh nak kuruskan badan sebab pakaian ada ukuran tertentu supaya baju nampak kena dengan tubuh saya," katanya kepada BH Online.

Meskipun jadual hariannya padat hingga masa bersama keluarga semakin terhad, namun pelakon filem Tanda Putera dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu bersyukur keluarganya memahami dan menyokong usahanya.

"Proses menyiapkan filem ini ambil masa selama lapan bulan termasuk membuat persiapan. Tak dinafikan, ia agak menegangkan.

"Boleh dikatakan sepanjang menjadi pelakon, ini adalah projek paling lama untuk disiapkan. Sepanjang tempoh ini, saya kena komited dan kehidupan saya hanyalah untuk Keluang Man.

"Memang filem ini menuntut pengorbanan besar. Sebagai pelakon, saya perlukan cabaran dan apa sahaja yang dilakukan buat saya gembira.

"Bagaimanapun, saya bersyukur keluarga saya amat memahami. Lagipun, saya buat semua ini untuk menyara keluarga, selain minat," ujar Nas ditemui pada sidang media Majlis Pelancaran Wall Climbing Keluang Man di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Nas (tiga dari kiri) pada sidang media Majlis Pelancaran Wall Climbing Keluang Man di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee
Nas (tiga dari kiri) pada sidang media Majlis Pelancaran Wall Climbing Keluang Man di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee

Mengenai komen netizen mempersoalkan pemilihannya sebagai watak utama animasi popular itu, Nas berkata, dia terbuka dengan semua pandangan diberikan.

"Perkara sebegini sudah dijangka kerana memang ada peminat animasi ini mengharapkan orang lain bawa watak Keluang Man.

"Saya tak boleh nak puaskan hati semua orang dan terima komen dengan hati terbuka. Ini adalah rezeki dan saya akan cuba berikan yang terbaik dalam versi saya sendiri," janji pelakon berusia 41 tahun ini.

Sementara itu, berkongsi perkara menarik mengenai filem sulungnya itu, pengarah Keluang Man, Anwari Ashraf Hashim menyifatkan, jalan cerita asal animasi itu sebagai mendahului zaman.

"Saya adalah peminat animasi Keluang Man dan sejarah bagaimana semuanya bermula apabila saya meminta Astro untuk membeli hak cipta animasi ini untuk dijadikan filem.

"Apa yang menarik adalah paparan mengenai isu kesihatan mental dalam animasi ini yang saya sifatkan sebagai ke depan.

"Cuma masa itu bahasa mudahnya adalah gila. Watak Borhan yang juga Keluang Man digambarkan sebagai bekas penghuni rumah sakit jiwa.

"Untuk versi filem, kami akan kembangkan jalan cerita dengan memberitahu penonton kenapa Borhan masuk rumah sakit jiwa," ujarnya.

Bakal memulakan penggambaran pada penghujung April ini, filem itu turut dibintangi Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor dan Anwar Beg Mughal.

Berita Harian X