Khamis, 7 March 2024 | 2:24pm
Once tidak keberatan bersemuka dengan Ahmad Dhani kerana mereka tidak berdepan krisis besar.
Once tidak keberatan bersemuka dengan Ahmad Dhani kerana mereka tidak berdepan krisis besar.

Tak terkilan, Once tahu punca Ahmad Dhani halang nyanyi lagu Dewa 19

KUALA LUMPUR: "Semuanya baik-baik sahaja, cuma kami belum bertemu untuk berbincang soal penafsiran hak cipta dan royalti."

Demikian perkongsian Once Mekel atau nama sebenarnya, Elfonda Mekel apabila ditanya mengenai hubungannya bersama ketua Kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani.

Bekas penyanyi kumpulan Dewa 19 itu mengakui, dia juga tidak keberatan untuk bersemuka dengan Ahmad Dhani kerana sememangnya mereka tidak berdepan krisis besar.

"Saya tidak keberatan bertemunya. Tapi, harapannya kami boleh bicara dengan lebih struktur, positif dan konstruktif kalau Ahmad Dhani masuk ke Parlimen kerana kami bersama sertai dunia politik.

"Kami juga boleh bangun bersama kerana ada dua orang yang mempunyai perspektif berbeza," katanya yang bertanding pada Pilihan Raya Indonesia (Pemilu) pada 14 Februari lalu.

Ditanya juga sama ada merasakan tidak adil larangan Ahmad Dhani yang menghalangnya menyanyikan lagu Dewa 19, Once berkata, dia menerimanya dengan terbuka dan tidak menyanyikan lagu Dewa 19 adalah atas keputusan peribadinya.

"Itu keputusan peribadi kerana larangan ini juga bersifat peribadi. Kalau secara umum dan bertulis, ia boleh sahaja.

"Saya juga faham kenapa tindakan larangan dibuat oleh Ahmad Dhani dan boleh menerimanya dengan baik. Ini kerana kami pernah bersama dalam satu kumpulan.

"Malah, saya juga tidak sedih atau terkilan apabila tidak lagi menyanyikan lagu Dewa 19. Tidak apa-apa sebab saya tahu apa sebabnya," katanya kepada BH Online.

Once akan tampil dalam Konsert Trio Terhebat bersama Marcell dan Bams di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 4 Mei depan. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Once akan tampil dalam Konsert Trio Terhebat bersama Marcell dan Bams di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 4 Mei depan. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Terdahulu, perselisihan bermula apabila Once didakwa Ahmad Dhani sering membawakan lagu Dewa 19, tetapi tidak pernah minta izin dan membayar royalti.

Perselisihan Ahmad Dhani dan Once menjadi perbahasan banyak pihak, termasuk di kalangan pemuzik dan penyanyi.

Once pula menjelaskan, membayar royalti dan seumpamanya bukanlah kewajipan penyanyi melainkan penyelenggara acara atau pengurus acara.

Bagaimanapun, perselisihan sudah selesai apabila Once berjanji tak akan membawakan lagu Dewa 19 dalam penampilan solonya.

Semalam, Once ditemui di Hotel Grand Hyatt, sempena promosi Konsert Trio Terhebat bersama Marcell dan Bams di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 4 Mei depan.

Melihat Trio Terhebat sebagai idea dan gabungan baik yang belum pernah dilakukan dalam persembahan, Once tidak mengambil masa lama untuk bersetuju.

Once akan menghiburkan peminat menerusi lagu daripada album solonya termasuk Dealova, Hilang Naluri, dan Untuk Kita yang dimuatkan dalam album terbaharunya.

Mengulas soal persiapan, Once akan memulakan latihan bersama Marcell dan Bam tidak lama lagi.

"Saya kena sihat mental dan fizikal. Sebagai penyanyi, itulah modal yang pertama. Kemudiannya baru persiapan bersama teman-teman.

"Ikut perancangan kami akan memulakan latihan beberapa minggu lagi.

"Saya juga akan membuat persembahan dengan beberapa pemuzik yang berasal dari band Marcell dan Bams.

"Ini kali pertama kami bertiga berkongsi pentas dan saya belum tahu berapa banyak lagu yang akan dinyanyikan, mungkin lebih kurang 10 lagu setiap penyanyi.

"Antaranya, lagu yang saya akan bawakan adalah lagu yang paling banyak diminta oleh peminat Indonesia dan Malaysia seperti Dealova, Simfoni Indah, Kucinta Kau Apa Adanya dan lagu-lagu dari album sendiri," katanya.

Berita Harian X