Khamis, 7 March 2024 | 8:30am
Hizwani berkongsi, program ILTIZAM Seni mengambil pendekatan menyeluruh di mana peserta dibimbing menguruskan bakat secara berterusan, mengendalikan aspek kewangan, pembentukan jenama diri, kecekapan penyampaian dan komunikasi. - Foto IG Hizwani Hassan
Hizwani berkongsi, program ILTIZAM Seni mengambil pendekatan menyeluruh di mana peserta dibimbing menguruskan bakat secara berterusan, mengendalikan aspek kewangan, pembentukan jenama diri, kecekapan penyampaian dan komunikasi. - Foto IG Hizwani Hassan

ILTIZAM Seni lahir seniman mapan, berdaya saing

KUALA LUMPUR: Cabang tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), iaitu ILTIZAM melancarkan inisiatif dikenali sebagai ILTIZAM Seni bagi membimbing anak muda tempatan membina keupayaan diri dan daya saing demi karier mapan sebagai seniman.

Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, pihaknya menyedari bakat dan potensi anak muda terbazir jika mereka tidak diperkasa dengan kecekapan lain yang diperlukan untuk berdaya saing dalam ekosistem seni tempatan dan global.

"Hasrat kami adalah untuk memupuk ekosistem kreatif yang mapan di Malaysia di mana mampu bersaing di peringkat global.

"Ekuinas komited untuk menyokong pembangunan seni dan warisan memandangkan potensinya dalam menjana ekonomi untuk negara dan kemampuan industri seni menarik pelabur dan pelancong.

"Kami ingin membuka mata orang ramai bahawa ada banyak bidang lain yang boleh kami lakukan untuk menjana pendapatan dan seni adalah salah satu daripadanya.

"Lagipun, bidang seni tidak diberi sebanyak tumpuan berbanding dengan bidang teknikal profesional seperti kejuruteraan, perundangan dan kewangan," katanya dalam kenyataan kepada BH Online.

Hizwani berkata, inisiatif residensi seni julung kali ini diperkenalkan untuk memperkasakan bakat muda terutama daripada komuniti Bumiputera yang kurang berkemampuan dan benar-benar bertekad membina kerjaya di dalam industri seni.

"Sejak Oktober 2023, program inovatif ini menawarkan latihan khusus selama enam bulan di sebuah residensi yang lapang dan tenang yang memberi inspirasi, jauh dari kesibukan kota.

"Artis dapat menumpukan perhatian penuh kepada penghasilan karya seni tanpa sebarang gangguan," katanya.

Hizwani berkata, program ILTIZAM Seni mengambil pendekatan yang menyeluruh di mana peserta dibimbing dalam menguruskan bakat secara berterusan, mengendalikan aspek kewangan, pembentukan jenama diri, kecekapan penyampaian dan komunikasi.

"Semuanya adalah asas penting bagi kejayaan dalam kerjaya seni mahupun dalam kehidupan," katanya.

Hizwani berkata, inisiatif ILTIZAM seni dijayakan dengan kolaborasi bersama Galeri Puteh dan Coach-2-Success. Galeri Puteh adalah sebuah galeri seni di Kuala Lumpur.

Galeri Puteh memimpin para artis ILTIZAM seni membentuk koleksi karya seni mereka, menyediakan peluang untuk peserta berjumpa dengan artis berpengalaman dan mendapat maklum balas dan kritikan yang membangun mengenai karya masing-masing.

Pada penghujung program, koleksi karya bakat muda ILTIZAM Seni akan dipamerkan di Galeri Puteh. Kolaborasi bersama Coach-2-Success (C2S) pula menyediakan peserta sebagai karyawan yang yakin, cekap dan berdaya saing.

"Kemuncak program ini adalah pameran seni oleh semua pelukis atau artis di Galeri Puteh, iaitu sebuah galeri seni tempatan di Kuala Lumpur, Mei depan.

"Melalui pameran ini, kami berharap artis dapat membina jenama diri, memprofil karya seni masing-masing dan hasil jualan kelak akan memberi mereka modal secukupnya untuk memangkin dan melonjakkan karier masing-masing sebagai seniman," katanya.

Hizwani berkata, seramai tujuh peserta terpilih mengikuti program ILTIZAM Seni. Mereka adalah graduan peringkat sarjana muda dan sarjana dalam bidang seni halus (lukisan dan arca) dari institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

"Mereka berasal dari Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Sabah. Masing-masing ada gaya seni tersendiri seperti 'still life', potret diri, 'pop culture' Jepun dan 'pop art'," katanya.

Hizwani berkata, pihaknya melantik Dr Jalaini Abu Hassan, iaitu profesor bidang seni lukis dan pelukis tersohor, sebagai mentor program ILTIZAM Seni.

"Mereka dapat menimba ilmu, menerima maklum balas ke atas karya seni dan suntikan semangat untuk berkarya secara inovatif dan kreatif.

"Selain pementoran, peserta menerima kunjungan daripada pelukis atau artis berpengalaman lain baik tempatan dan antarabangsa yang memberi maklum balas dan kritikan membangun ke atas karya seni mereka," katanya.

Berita Harian X