Khamis, 7 March 2024 | 8:24am
Azhan (kiri) bersama empat lagi pendaki termasuk seorang wanita yang melakukan pendakian ke Island Peak di Nepal. - Foto ihsan SAR
Azhan (kiri) bersama empat lagi pendaki termasuk seorang wanita yang melakukan pendakian ke Island Peak di Nepal. - Foto ihsan SAR

Cuaca buruk halang misi Azhan Rani tawan puncak Gunung Island Peak

KUALA LUMPUR: Angin kencang dan suhu di bawah negatif 25 darjah Celsius menghalang misi pelakon, Azhan Rani untuk menjejakkan kaki ke puncak Gunung Island Peak, Nepal, semalam.

Pelakon utama drama Khunsa yang bakal disiarkan pada Ramadan ini terpaksa berpatah balik pada ketinggian 5,600 meter (m) dari aras laut atas faktor keselamatan.

Ketua Pendaki, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fakhrul Munir MohdIsa, berkata keputusan untuk berpatah balik itu terpaksa diambil selepas berbincang dengan Sherpa.

"Pendakian kami ke puncak terhalang setelah mencuba separuh jalan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

"Atas faktor keselamatan, kami mengambil keputusan untuk berpatah balik dan tidak meneruskan pendakian.

"Ketika pendakian tiba di High Camp pada ketinggian 5,600m, suhu telah mencecah -25 Celcius dan tiupan angin terlalu kencang, sekali gus menyukarkan pendakian. Selepas berbincang dan mendengar nasihat Sherpa, kami akur untuk berpatah balik," katanya.

Azhan Rani (kanan) bergambar bersama kesemua 13 pendaki SAR AHSANA di Tok Tok sebelum mereka berpecah meneruskan pendakian ke EBC dan Island Peak.
Azhan Rani (kanan) bergambar bersama kesemua 13 pendaki SAR AHSANA di Tok Tok sebelum mereka berpecah meneruskan pendakian ke EBC dan Island Peak.

Menurut Mohd Fakhrul Munir, beliau ada berbincang untuk menambah sehari lagi tempoh pendakian tetapi Sherpa tidak memberi jaminan keadaan cuaca akan kembali baik.

Selain Azhan dan Mohd Fakhrul Munir, tiga lagi pendaki yang mengikuti misi itu ialah Azmi Mohd Ariffin, Khalid Abd Hanid dan pendaki tunggal wanita, Zarina Abd Rahman.

Sementara itu, Azhan yang membawa misi mengibarkan bendera Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata, beliau tetap bersyukur meskipun misi menawan puncak Island Peak yang berketinggian 6,160m tidak kesampaian.

"Apa yang bermain pada fikiran saya sekarang adalah balik rumah dengan selamat selepas menempuh pengalaman menakutkan.

"Kami memulakan pendakian dalam keadaan fizikal yang baik dan semangat yang tinggi tetapi cuaca buruk menghalang misi kami," katanya yang turut mencetuskan idea program pendakian amal anjuran Summit Attack Resources (SAR) itu.

Program pendakian amal SAR Ahsana Ke Island Peak & Everest Base Camp Bersama Azhan Rani 2024 itu diadakan dengan kerjasama Kelab Kembara Kosmopolitan.

Objektif utama pendakian adalah untuk mengumpul dana bagi membantu rumah kebajikan, Persatuan Kebajikan AHSANA Kuala Lumpur di Puchong yang menempatkan orang kurang upaya (OKU) dan autisme.

Majlis 'Flag Off' program pendakian amal itu diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 25 Februari lalu dan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad.

Berita Harian X