Rabu, 6 March 2024 | 9:02pm
Dayang menyifatkan prestasi vokal kurang memuaskan lumrah bagi seorang penyanyi apatah lagi, terlebih guna. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Dayang menyifatkan prestasi vokal kurang memuaskan lumrah bagi seorang penyanyi apatah lagi, terlebih guna. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Dayang nafi sakit, ada masalah suara

PETALING JAYA: Penyanyi Dayang Nurfaizah meminta semua pihak menghentikan spekulasi badannya semakin menyusut disebabkan sakit.

Meskipun ada yang mengatakan bentuk tubuhnya semakin mengecil, namun menurut Dayang, dia bukan sahaja sihat, malah mempunyai berat badan yang ideal.

"Kepada peminat Dayang, kalau betul sayangkan Dayang janganlah tulis komen tanya Dayang sakitkah?

"Bila perkataan (sakit) itu selalu disebut takut nanti jadi doa. Saya Alhamdulillah sihat walafiat.

"Cuma, saya kurus sebab nak cantik dan gembira dengan penampilan diri. Berat badan saya sekarang 46 kilogram dan masih dalam kategori ideal.

"Saya sering buat pemeriksaan kesihatan dan setakat ini, keadaan saya baik-baik sahaja," katanya kepada BH Online:

Bagi mendapatkan tubuh badan yang diimpikan, penyanyi Separuh Matiku Bercinta itu mendedahkan, dia mengamalkan diet, namun tidak keterlaluan.

"Biasanya bila ada konsert besar, barulah saya akan jaga makan dan bersenam. Selepas selesai konsert, saya makan macam biasa.

"Saya jenis makan makanan dalam kuantiti yang sedikit, sama juga dengan mak dan kakak," ujarnya ditemui pada sidang media Konsert By Ajai & Mega di sebuah hotel, di Mutiara Damansara, hari ini.

Untuk mendapatkan tubuh badan diimpikan, Dayang mengamalkan diet, namun tidak keterlaluan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Untuk mendapatkan tubuh badan diimpikan, Dayang mengamalkan diet, namun tidak keterlaluan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Untuk konsert yang bakal berlangsung di Mega star Arena, Kuala Lumpur pada 3 Ogos depan, Dayang akan menyampaikan dua lagu termasuk single pertama terbitan Ajai berjudul Seandainya Masih Ada Cinta.

Sementara itu, mengulas prestasi vokalnya yang didakwa kurang memuaskan, pemilik nama sebenar, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 42, menyifatkan perkara itu lumrah bagi anak seni.

"Saya tak mengalami masalah suara, cuma vokal adalah otot. Ada hari-harinya ia tak dapat berfungsi dengan baik.

"Kalau terlebih guna (vokal) memang akan ada kesannya. Tapi, kalau itu berlaku, saya akan jumpa doktor untuk buat pemeriksaan.

"Saya manusia biasa walaupun sudah lama menyanyi, namun ada masanya vokal turun naik.

"Kita mesti ada 'bad day' dan saya anggap ia adalah perkara lumrah bagi penyanyi," jelasnya.

Penyanyi asal Kuching, Sarawak itu mengulas ciapan netizen yang meluahkan kebimbangan terhadap vokal Dayang ketika beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL 38), baru-baru ini.

Ada mendakwa vokal Dayang berpotensi untuk terjejas jika tidak mendapat pemeriksaan awal.

Berita Harian X