Rabu, 6 March 2024 | 3:21pm
Afieq tidak menolak andai mahu bekerjasama dengan Wany selepas AJL 38. - NSTP/Rohanis Shukri
Afieq tidak menolak andai mahu bekerjasama dengan Wany selepas AJL 38. - NSTP/Rohanis Shukri

Afieq lega tugas ganti figura legenda di pentas AJL 38 dipuji

KUALA LUMPUR: Penyanyi Afieq Shazwan lega dan gembira selepas berjaya melaksanakan tanggungjawab besar menggantikan penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38, Ahad lalu.

Afieq atau nama sebenar, Mohammad Shafieq Shazwan Zamros bersyukur peminat boleh menerima aksinya menyampaikan lagu ciptaan A Ramlee dan Ezra Kong, Kucuma bersama Wany Hasrita di pentas berprestij itu.

"Syukur Alhamdulillah... Saya lega sebab orang boleh terima. Sememangnya, saya tidak berharap lebih. Cuma saya harap orang boleh terima saya sebagai pengganti Jamal. Hakikatnya, bukan mudah menggantikan figura legenda.

"Saya ganti tempat Jamal agar Wany ada rakan duet dan persembahan boleh diteruskan. Saya gembira apabila dapat tengok Wany teruja. Malah, kumpulan kerja di FMC Music juga gembira dengan penyampaian lagu itu.

"Saya sendiri tidak sangka dan terkejut saya boleh melakukannya. Alhamdulillah, saya tengok rata-rata beri komen suka, malah ada yang cakap, saya macam hero Tamil," katanya kepada BH Online.

Afieq tidak menyangka menerima komen positif, malah sejak mula lagi Afieq sudah bersedia dari segi mental untuk menerima kecaman dan perbandingan dengan penyanyi asal.

"Saya betul-betul tidak jangka. Saya fikir ramai akan kecewa dengan persembahan saya dan dikecam. Alhamdulillah, ini semua rezeki Tuhan.

"Ini juga kali pertama saya menyanyi di hadapan penonton seramai itu. Saya pejam mata dan bayang dewan itu kosong.

"Saya pakai 'ear monitor' dan tidak dengar orang menjerit. Saya hanya ikhlaskan hati dan menyanyi. Kalau boleh, saya mahu pasukan kerja gembira dengan penyampaian saya walaupun tidak menang.

"Sejak awal lagi, saya beritahu Wany, kita tak perlu tertekan dan anggap seperti konsert sendiri," katanya.

Afieq bersyukur peminat boleh menerima aksinya menyampaikan lagu Kucuma bersama Wany Hasrita di pentas AJL 38. - NSTP/Nur Raihana Alia
Afieq bersyukur peminat boleh menerima aksinya menyampaikan lagu Kucuma bersama Wany Hasrita di pentas AJL 38. - NSTP/Nur Raihana Alia

Afieq menghargai kepercayaan peminat biarpun dia hanya sempat berlatih dua minggu sebelum AJL 38.

"Saya agak tertekan sebab sebagai penyanyi, kita tahu kita ada pantang makanan untuk jaga suara. Selain itu, saya kena 'fit' dan berlatih menari. Saya perlu belajar perkara yang saya tidak pernah buat seperti corak nyanyian.

"Idea yang dikongsi adalah persembahan ala Bollywood. Jadi, saya banyak belajar dan dengar lagu Hindustan," katanya.

Afieq bersyukur Wany gembira bekerjasama dengannya dan menghargai komitmen diberi sepanjang persiapan menyertai AJL 38.

Berikutan itu, Afieq tidak menolak andai mahu bekerjasama dengan Wany selepas AJL 38.

"Mungkin selama ini, kami tidak nampak gandingan ini. Kami boleh bekerjasama, mana tahu selepas ini ada rezeki lagi. Insya-Allah," katanya.

Berita Harian X