Rabu, 6 March 2024 | 1:00pm
Mu Sangar berpegang kepada konsep pendidikan sebagai kekayaan yang kekal dan berharap usahanya memberi motivasi kepada orang ramai menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi. - NSTP/Nur Raihana Alia
Mu Sangar berpegang kepada konsep pendidikan sebagai kekayaan yang kekal dan berharap usahanya memberi motivasi kepada orang ramai menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi. - NSTP/Nur Raihana Alia

Penyampai berita ada PhD

KUALA LUMPUR: Berpegang iltizam meningkatkan keupayaan diri, siapa sangka karier yang bermula sebagai ahli kimia membawa penyampai berita stesen radio di bawah RTM, Minnal FM, iaitu Mu Sangar mengikuti pengajian dalam bahasa Tamil di Universiti Malaya (UM) sehingga bergelar doktor falsafah.

Terbukti penat lelah lebih dua dekad dalam bidang akademik dan komitmen di konti radio Minnal FM, membolehkan Mu Sangar mencapai impian bergelar doktor falsafah, malah dikatakan penyampai berita radio pertama memiliki kelulusan PhD di Malaysia.

Latar pengalaman kerjaya sebagai ahli kimia tidak menghalang bapa kepada dua cahaya mata ini mencuba nasib dalam bidang penyiaran sehinggalah diterima sebagai penyiar oleh tokoh penyiaran Tamil di Malaysia, Dr V Poobalan.

Atas minat mendalam dalam bidang penyiaran radio, Mu Sangar mengakui tidak berdepan masalah dalam melunaskan dua komitmen sejak memulakan kerjaya di Minnal FM yang dahulunya dikenali sebagai Radio 6 pada 2001.

"Saya menamatkan pengajian peringkat PhD dalam bidang bahasa Tamil di UM pada 2019 selepas kira-kira lima tahun mengerah kekuatan fizikal dan mental.

"Sebelum itu, saya tamatkan pengajian dalam bidang berbeza iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia) dengan kepujian di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1999. Kemudian, meneruskan pengajian Ijazah Sarjana dalam Kesusasteraan Tamil (Sanga Ilakkiyam) di UM.

"Dari dahulu saya berminat dalam bidang radio ini. Pada awalnya, saya diambil masuk ke Minnal FM atau dahulunya, Radio 6 pada 2001 hingga 2005 sebagai penyampai. Selepas itu, saya dipindahkan ke bahagian berita sehingga hari ini.

"Pengajian PhD saya adalah sepenuhnya kajian dan tidak perlu ke kelas. Jadi, masih boleh bahagi masa selepas bertugas di radio.

"Pembahagian masa itu tidak menjadi masalah besar untuk saya," katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH Online di ibu negara, baru-baru ini.

Mu Sangar berpegang kepada konsep pendidikan sebagai kekayaan yang kekal dan berharap usahanya itu mampu memberi motivasi kepada orang ramai agar menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.

"Saya bersyukur kerana ketika bekerja dalam sektor penyiaran yang sememangnya kita tahu agak sibuk, saya berjaya menamatkan pengajian peringkat PhD.

"Mungkin ramai yang beranggapan PhD untuk beberapa cabang pendidikan sahaja. Tetapi, ada banyak lagi bidang yang orang ramai boleh terokai di peringkat pengajian ini. Sebagai contoh, sektor penyiaran.

"Kalau di luar negara, ada banyak bidang yang boleh diteruskan hingga ke peringkat PhD. Sekarang saya lihat sudah ramai yang mula menjejakkan kaki untuk mendapatkan pendidikan hingga peringkat tertinggi.

"Pendidikan tak menjadi penghalang dalam apa juga bidang diceburi. Saya tidak letak had untuk berhenti daripada bidang ini, Malah, saya ada perancangan ke arah akademik sepenuh masa, tetapi masanya mungkin belum tiba," katanya.

Penat lelah dalam bidang akademik dan komitmen di konti radio Minnal FM, membolehkan Mu Sangar mencapai impian bergelar doktor falsafah, malah dikatakan penyampai berita radio pertama memiliki kelulusan PhD di Malaysia. - NSTP/Nur Raihana Alia
Penat lelah dalam bidang akademik dan komitmen di konti radio Minnal FM, membolehkan Mu Sangar mencapai impian bergelar doktor falsafah, malah dikatakan penyampai berita radio pertama memiliki kelulusan PhD di Malaysia. - NSTP/Nur Raihana Alia

Mu Sangar berpendapat pengalaman kerjaya menerusi akademik mampu mengajar individu seperti dirinya untuk tampil yakin dan kredibiliti di hadapan masyarakat. Justeru, Mu Sangar menggalakkan orang ramai menyambung pengajian.

"Saya galakkan orang ramai untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD terutama siapa yang bekerja dalam bidang penyiaran. Pendidikan bukanlah perkara asing dan mampu menjadi keunggulan untuk seseorang itu.

"Saya berharap, kita boleh asimilasikan sektor penyiaran ini dengan semua cabang pendidikan. Kemudian, baru boleh capai tahap lebih tinggi. Jangan ketepikan pendidikan," katanya.

Selain pembaca berita radio, Mu Sangar pernah bertugas sebagai penyampai radio, penerbit program, juruhebah dan pengulas siaran langsung.

Pengalaman paling berharga dalam kerjayanya apabila diberi peluang mengelolakan rancangan siaran pagi, Vanakkam Malaysia (Hello Malaysia) pada pagi Ahad selama hampir tiga tahun sejak 2001.

Pengalaman dalam bidang penyampaian radio, pemberitaan, penyampaian dan penyuntingan berita radio termasuk televisyen ketika di RTM banyak mengajar Mu Sangar mengenai pembangunan bakat serta ilmu. Tidak hairanlah, beliau usahanya itu dipuji ikon penyiaran negara, Datuk Harjit Singh Hullon.  

Khidmat Mu Sangar tidak terhad di bilik berita, malah berkembang ke peringkat nasional terutama dalam bidang pendidikan apabila dilantik sebagai Ketua Bahagian Terjemahan Majlis Pembakuan Bahasa Tamil Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan pada 2019.

Kelulusan doktor falsafah dimiliki Mu Sangar ditambah pengalaman luas dalam bidang berita mendapat perhatian UM yang melantiknya sebagai Felo di Fakulti Bahasa dan Linguistik sejak 2023.

Berita Harian X