Rabu, 6 March 2024 | 11:00am
Aina mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri, Jangan Mati Rasa Itu diumum pemenang tempat ketiga, selain trofi Vokal Terbaik dan Penyanyi Pilihan Alha Alfa menerusi AJL 38. - NSTP/Rohanis Shukri
Aina mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri, Jangan Mati Rasa Itu diumum pemenang tempat ketiga, selain trofi Vokal Terbaik dan Penyanyi Pilihan Alha Alfa menerusi AJL 38. - NSTP/Rohanis Shukri

Vokal konsisten faktor pilihan

KUALA LUMPUR: Keupayaan melontarkan vokal secara konsisten menjadi kelebihan Aina Abdul meraih trofi Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad lalu, sekali gus mempertahankan kemenangan untuk tahun ketiga berturut-turut.

Panel juri AJL 38 mengakui konsistensi vokal Aina berjaya mempertahankan melodi asal lagu Jangan Mati Rasa Itu yang dipertaruhkan, lantas memberi kelebihan kepada penyanyi dan komposer itu untuk menyerlah berbanding finalis lain.

Ketua Juri AJL 38, Datuk Mokhzani Ismail berkata, Aina menunjukkan kesungguhan mengkaji lagu gubahan Mac Chew itu, selain mempersembahkan vokal yang tidak berlebih-lebih.

"Persembahan Aina konsisten dari awal sampai hujung. Dia ada tenaga yang sangat konsisten di mana lagu itu tidak mudah dibawa kerana nadanya berbeza-beza.

"Tetapi disebabkan Aina boleh bermain piano, jadi dia tahu bagaimana membawa lagu itu dengan baik tanpa berlebih-lebih.

"Sesetengah penyanyi bagus tetapi mereka terlalu berlebih-lebih dan menjerit hingga memerangkap diri sendiri," katanya pada sidang media selepas AJL 38 berakhir.

Pada AJL 38, Aina yang mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri, Jangan Mati Rasa Itu diumum pemenang tempat ketiga. Selain trofi Vokal Terbaik, Aina dipilih peminat memenangi kategori Penyanyi Pilihan Alha Alfa.

Aina menang Vokal Terbaik pada AJL 36 melalui lagu Sepi dan AJL 37 dengan lagu Terus Hidup yang diangkat juara.

Mokhzani berkata, penyanyi yang bertanding di platform AJL dinasihat usah berlebih-lebih mengubah melodi asal hingga hilang keaslian karya dicipta. Kecenderungan itu boleh menjejaskan pemarkahan bagi penilaian vokal terbaik.

Aina mengangkat tema ‘Pohon Kehidupan’ membawa metafora cinta yang terus mekar dalam diri biarpun dalam ketandusan ketika beraksi di pentas AJL 38, Ahad lalu. - NSTP/Nur Raihana Alia
Aina mengangkat tema ‘Pohon Kehidupan’ membawa metafora cinta yang terus mekar dalam diri biarpun dalam ketandusan ketika beraksi di pentas AJL 38, Ahad lalu. - NSTP/Nur Raihana Alia

Ditanya kemenangan lebih berpihak kepada penyanyi bervokal tinggi, Mokhzani berkata, juri selalunya mencari sesuatu yang mencabar, biarpun diakui tidak semestinya penyanyi vokal tinggi mempunyai kelebihan diangkat pemenang.

"Kalau saya boleh beri sedikit teguran, apa yang saya lihat dalam AJL, ada penyanyi yang berlebih-lebih hingga gubahan asal jadi berbeza.

"Ada gubahan terlalu ke hadapan dengan pelbagai bentuk digubah hingga kadangkala hilang keaslian melodi asal.

"Juri didedahkan dengan lagu mengikut audio asal, di mana kami sudah menghadam gubahan, genre dan 'flow' lagu. Jadi, apabila kami datang ke sini, kami harapkan gubahan lagu tidak diberi kelainan hingga hilang keasliannya," katanya.

Aina tidak dapat menyembunyikan kegembiraan apabila mencapai kejayaan hatrik dengan mempertahankan trofi Vokal Terbaik buat tahun ketiga berturut-turut pada AJL 38.

Aina yang memberi dedikasi kemenangan kepada semua guru vokalnya, bagaimanapun tidak menganggap dirinya terbaik.

"Saya tujukan kemenangan ini kepada tenaga pengajar vokal saya. Selama ini, saya jarang bercerita mengenai perjalanan seni vokal dari awal.

"Sejak di bangku sekolah sehinggalah bergelar penyanyi, saya bertemu dengan ramai guru hebat.

"Merekalah yang beri saya bekalan hingga mampu menggenggam trofi pada malam ini (Ahad lalu). Kemenangan ini untuk mereka atas ilmu yang dicurahkan kepada saya," katanya.

Aina mengagumi vokal Ernie Zakri yang mendendangkan lagu Astana dan Marsha Milan yang mempertaruhkan lagu Darah.

"Saya kagumi Ernie dan Marsha. Sepanjang membuat persediaan untuk AJL 38, saya banyak belajar daripada mereka.

"Bilik untuk bersiap kami bersebelahan. Jadi, setiap kali mereka berlatih vokal, saya boleh dengar suara Ernie dan Marsha," katanya.

Berita Harian X