Selasa, 5 March 2024 | 10:10pm
Fizi cuba memenuhi segala kehendak Nur Ameena sepanjang empat hari bersama. - Foto IG Fizi Ali
Fizi cuba memenuhi segala kehendak Nur Ameena sepanjang empat hari bersama. - Foto IG Fizi Ali

Kerinduan Fizi terubat bersama Nur Ameena empat hari

KUALA LUMPUR: Selepas tiga bulan tidak bertemu anak kesayangan, Nur Ameena Sofia, 5, akhirnya kerinduan penyampai radio Hot FM, Fizi Ali terhadapnya terlerai Jumaat lalu.

Kali terakhir bertemu pada Disember lalu, Fizi berkata, dia dapat melihat keterujaan Nur Ameena ketika mengambilnya di sekolah.

"Tak dapat gambarkan perasaan selepas tiga bulan tak berjumpa.

"Memang sangat gembira dan bersyukur. Sebaik melihat saya, Nur Ameena terus berlari sambil dipegang oleh gurunya.

"Saya nampak riak wajahnya teruja dan terus menjerit memanggil 'daddy'," katanya yang ditemui pada acara karpet merah Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38, Ahad lalu.

Fizi berpeluang meluangkan masa selama empat hari bersama Nur Ameena berkata, dia tahu anaknya menyimpan perasaan rindu biarpun tidak meluahkannya.

"Nur Ameena tak bercakap mengenai perasaannya, tapi saya tahu riak wajahnya.

"Dia sukar menangis, tapi bila nampak air matanya bergenang, saya tahu dia amat rindu. Saya pun sama seperti Nur Ameena," ujarnya.

Fizi bersama isteri dan anak-anaknya. - Foto IG Fizi Ali
Fizi bersama isteri dan anak-anaknya. - Foto IG Fizi Ali

Memulangkan Nur Ameena kepada bekas isteri, Shakila Khoriri pada Isnin lalu, Fizi berkata, dia cuba memenuhi segala kehendak hati anaknya sepanjang empat hari bersama.

"Saya ambil Nur Ameena pada Jumaat. Aktiviti kami bermula dari pagi sampai malam.

"Kami banyak berjalan dan saya ikutkan sahaja apa dimahukan. Nur Ameena nak makan ais krim dan nak ke tempat sejuk, jadi saya bawanya ke i-City Shah Alam," kongsinya.

Pada 22 Februari lalu, Fizi tidak dapat menahan air mata apabila akhirnya diberi peluang berjumpa dan membawa pulang anak perempuannya selama empat hari pada 1 Mac lalu.

Keputusan itu adalah hasil budi bicara antaranya dengan bekas isteri.

Sebelum ini, Fizi memfailkan tuntutan hadanah kekal pada 15 Disember tahun lalu dengan menamakan Shakila, 35, sebagai defendan.

Fizi dan Shakila pernah mendirikan rumah tangga pada 18 Januari 2018, namun bercerai pada Disember 2021.

Berita Harian X