Selasa, 5 March 2024 | 3:00pm
Azri bukan sahaja kecewa, malah pelik dan tertanya-tanya apakah kesalahan dilakukan hingga namanya sering ditolak stesen TV. - Foto NSTP
Azri bukan sahaja kecewa, malah pelik dan tertanya-tanya apakah kesalahan dilakukan hingga namanya sering ditolak stesen TV. - Foto NSTP

Azri Iskandar kena pangkah stesen TV?

KUALA LUMPUR: Luahan pelakon Azri Iskandar mengenai kesukaran dihadapi selepas sekian lama tidak mendapat tawaran lakonan hingga tidak mampu membayar sewa rumah mengejutkan banyak pihak.

Pelakon filem Pontianak Harum Sundal Malam itu bukan sahaja kecewa, malah pelik dan tertanya-tanya apakah kesalahan dilakukan hingga namanya sering ditolak stesen televisyen (TV).

Azri, 56, mendakwa setiap kali namanya dicadangkan oleh produksi sebagai antara pelakon, pasti stesen TV menolak dan meminta pelakon lain sebagai ganti.

Pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir dan Pontianak Harum Sundal Malam itu berkata, dia ada terima tawaran, tapi bila produksi hantar nama ke stesen TV, selalunya tak lulus.

"Saya hairan, apa kurangnya saya? Lakonan saya yang mana satu dirasakan tidak bagus, sedangkan saya boleh buat semua.

"Setakat ini, saya belum minta penjelasan stesen TV. Saya tidak berpeluang orang kuat stesen TV.

"Kalau jumpa, saya pasti akan tanya apa kriteria yang mereka pilih. Saya teringin juga nak tahu kenapa pelakon boleh dapat watak 'ayah handsome' dan lain-lain, tapi bukan saya.

"Saya pun tak adalah nak pilih watak. Apa sahaja watak menarik saya akan cuba berikan lakon yang terbaik," katanya kepada BH Online.

Mengulas adakah mungkin kontroversi menjadi punca nama panas dan ditolak, Azri menafikannya.

"Saya tak rasa sebab kontroversi kerana ia sudah lama berlalu sejak tahun lalu.

"Lagipun, saya ada sahaja 'job' selepas kontroversi. Cuma, saya pelik kenapa sekarang nama saya ditolak.

"Tapi, tak mengapalah. Kalau saya jumpa orang kuat stesen TV, saya akan tanya kenapa perkara ini boleh berlaku," katanya.

Azri nafi kontroversi jadi punca nama kena tolak stesen TV. - Foto NSTP
Azri nafi kontroversi jadi punca nama kena tolak stesen TV. - Foto NSTP

Katanya, dia bersyukur kawan-kawan industri tidak pernah menjauhkan diri ketika berdepan dengan situasi getir. Mereka masih bertanya khabar walaupun tahu keadaannya.

"Saya tak perlukan bantuan pun. Kalau nak bantu, kena banyak pakai duit. Kalau setakat RM10, RM20, lebih baik simpan," katanya.

Tambah Azri, anak-anak tahu masalahnya, tetapi bekas isteri, Ellie Suriaty buat masa sekarang tidak menghubunginya.

"Tapi, kebiasaannya kalau apa-apa, Ellie akan tolong kalau saya perlukan bantuan. Dia pun tiada tawaran pengarahan sebab itulah sekarang sedang berlakon dengan produksi orang lain.

"Saya memang tiada kerja lain. Lakonan adalah satu-satunya sumber pendapatan saya. Kalau tiada 'job' macam sekarang, saya buat benda yang saya suka seperti membaca dan bersenam.

"Buat apa yang saya suka. Ada juga tawaran berlakon, tetapi tawaran ditunda sebab Pantai Timur dilanda banjir, mungkin selepas raya nanti. Saya memang harap sangat dengan tawaran ini," katanya.

Baru-baru ini, timbul dakwaan Azri 'kaki kikis' apabila dikatakan suka mengambil kesempatan terhadap wanita.

Azri dan Ellie mendirikan rumah tangga pada 2003, namun bercerai talak satu pada 17 Mei 2022.

Hasil perkahwinan selama 19 tahun, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Azrell Omar Azri Iskandar, 20, dan Nur Azreen, 15.

Berita Harian X