Selasa, 5 March 2024 | 11:00am
Dari kiri Aina, Amir dan Aisha bersama trofi kemenangan masing-masing pada malam kemuncak AJL 38 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, kelmarin. Foto NSTP Aswadi Alias
Dari kiri Aina, Amir dan Aisha bersama trofi kemenangan masing-masing pada malam kemuncak AJL 38 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, kelmarin. Foto NSTP Aswadi Alias

Penangan lagu 'healing', Hasrat akhiri penantian Amir Jahari

KUALA LUMPUR: Sekadar memetik gitar tanpa gimik, penyanyi dan komposer, Amir Jahari memberi persembahan penuh bermakna di hadapan kira-kira 8,000 penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil, lantas memikat juri yang memilih dendangan itu mengungguli Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38 yang disiarkan secara langsung TV3, kelmarin.

Karya yang dicipta untuk dijadikan runut bunyi filem Imaginur, melakar sejarah peribadi buat Amir yang kali pertama diiktiraf di pentas gah AJL.

Dengan melodi indah dan gaya nyanyian tersendiri, lagu berentak balada itu dibawa sepenuh jiwa, sementelah Hasrat dicipta berdasarkan pengalaman peribadi.

"Lagu ini dihasilkan pada 2020. Ketika itu, pengarah filem Imaginur, Nik Amir Mustapha minta saya untuk cipta lagu untuk karyanya itu.

"Apabila dibaca sinopsis, saya terbayang perjalanan kisah hidup sendiri. Lantas, pengalaman yang saya lalui dikongsi dalam Hasrat. Alhamdulillah, apabila orang dengar, mereka boleh rasa dan kaitkan dengan hidup sendiri.

Amir berharap kemenangan diraih di pentas AJL 38 mampu melonjakkan karier seninya. Foto NSTP Aswadi Alias
Amir berharap kemenangan diraih di pentas AJL 38 mampu melonjakkan karier seninya. Foto NSTP Aswadi Alias

"Sejak itu, orang fikir Hasrat jadi lagu 'healing', walhal, lagu itu boleh buat orang menangis," katanya pada sidang media sebaik AJL 38 melabuhkan tirai, kelmarin.

Pada malam kemuncak AJL 38 dibawa Alha Alfa Cosmetics sebagai penaja utama, Amir menerima hadiah wang tunai RM100,000 dan trofi.

Naib juara AJL 38 menjadi milik lagu Sutera nyanyian dan ciptaan Aisha Retno dan MFMF. Mereka membawa pulang wang tunai RM50,000 dan trofi.

Menduduki tempat ketiga adalah lagu Jangan Mati Rasa Itu, nyanyian dan ciptaan Aina Abdul. Atas kemenangan itu, Aina menerima wang tunai RM30,000 dan trofi.

Bukan sahaja memaparkan pengalaman sendiri melalui lirik Hasrat, Amir menyelit solidariti terhadap rakyat Palestin sebagai simbolik persembahannya di pentas AJL 38.

"Ketika ini, Malaysia aman damai, namun, di sana, rakyat Palestin masih berperang. Bukan sahaja di Palestin, malah di Iraq. Setiap kali saya baca di aplikasi X, banyak cerita menakutkan yang mana orang di sini tidak dapat rasa.

"Saya dapat rasa, lagu Hasrat adalah suara mereka di mana satu dunia tidak mahu dengar. Kita bersyukur masih lagi berada dalam keadaan aman damai.

"Kalau kita lihat tulisan jawi pada papan LED, itu semua adalah nama mereka yang syahid di Palestin," katanya.

Dek tidak pernah memenangi mana-mana pertandingan sejak menjadi anak seni lebih sedekad lalu, Amir atau nama penuh, Mohamad Amirullah Jahari, 32, mengakui pelik ketika diumum juara AJL 38.

"Ketika nama saya diumum sebagai pemenang, saya tidak sedar langsung. Saya sangka lagu Astana yang menang selepas melihat kejayaan Aisha dan Aina.

"Lagipun, sebelum ini, setiap kali saya sertai mana-mana acara pertandingan nyanyian, saya tidak pernah dapat nombor. Ada sekali itupun saya dapat tempat kedua.

"Apabila saya menang malam ini (kelmarin), saya rasa peliklah. Selepas menjadi finalis dalam AJL 27, saya hilangkan diri. Orang sangka saya merajuk. Sebenarnya, ketika itu saya hadapi masalah peribadi dan gangguan mental.

"Saya mohon diberi ruang untuk memperbetulkan apa yang salah. Harapan saya selepas kemenangan ini, ia dapat melonjakkan lagi karier seni saya.

"Sekarang, saya sudah okay dan objektif saya selepas ini adalah untuk terus berkarya," katanya.

Ditanya bagaimana dia mahu dikenang sebagai komposer, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu memberitahu, impiannya hanyalah menjadi komposer yang berjasa kepada negara.

"Kalau boleh, biarlah mereka yang dengar lagu saya dapat sesuatu seperti perasaan, nasihat dan manfaat. Bukan sahaja untuk memberi hiburan, saya mahu jadi komposer yang dapat menyumbangkan bakti kepada masyarakat dan negara," katanya.

Aisha yang meraih naib juara, bersyukur lagu Sutera ciptaan bersamanya dengan MFMF, diiktiraf di pentas AJL 38.

Berkongsi pembikinan lagu yang diberi sentuhan elemen EDM (Electonic Dance Music) itu, Aisha berkata, Sutera adalah ciptaan asalnya, sebelum dia meminta MFMF mengindahkan bingkisan berkenaan.

"Saya cipta lagu itu dalam tempoh 24 jam. Pada asalnya, lagu itu berentak rancak. Lagu itu kemudian diberi kepada MFMF di mana dia diminta menyiapkannya dalam tempoh tiga hari," katanya.

Tampil dengan konsep Jawa dalam aksinya hingga meraih trofi Persembahan Terbaik, Aisha atau nama sebenar, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijamitu memberitahu, persembahannya diilhamkan daripada kisah Ratu Nyi Roro Kidul.

"Inspirasi persembahan saya diambil daripada Nyi Roro Kidul. Kebetulan, saya berdarah Jawa. Jadi, saya banyak rujuk dengan ibu," katanya.

Mengulas keberanian terbang setinggi 30 kaki ketika beraksi, Aisha mengaku suka kepada ketinggian.

"Saya beritahu pihak produksi, saya suka pada ketinggian. Namun, saya tidak suka dengan kelajuan. Jadi, mereka boleh 'terbangkan' seberapa tinggi yang boleh, tapi kena perlahan-lahan.

"Kalau hendak laju, sila naik 'roller coster' ," katanya yang juga graduan jurusan ekonomi.

Aisha berkata, ibunya menulis lirik pembukaan lagu Sutera pada persembahan yang diiringi sekumpulan penari itu.

"Ibu tulis lirik untuk pembukaan lagu Sutera kerana beliau lebih memahami. Saya juga menjadikan Puan Sri Tiara Jacquelina dalam filem Puteri Gunung Ledang (PGL) dan Datuk Seri Siti Nurhaliza bagi penghasilan muzik etnik kreatif sebagai inspirasi," katanya.

Sementara itu, Aina yang mempertahankan trofi Vokal Terbaik yang dimenangi tahun lalu, tidak sedih apabila lagu Jangan Mati Rasa Itu menduduki tempat ketiga.

"Bagi saya, AJL 38 lebih kepada meraikan penggiat muzik. Malah, inilah edisi AJL yang paling saya ingat sampai bila-bila.

"Lagu bertanding mempunyai pelbagai genre. Bagi saya, ini sepatutnya diraikan, bukan dipertandingkan. Saya suka dengan semua lagu yang menjadi finalis.

"Kalau hendak kata saya sedih, maknanya saya tidak bersyukur," katanya.

Mengenai konsep pokok dan musim luruh dipaparkan dalam persembahannya itu, Aina yang menjuarai AJL 37 dengan lagu Terus Hidup mengakui konsep dibawa menepati mesej yang ingin disampaikan dalam lagu Jangan Mati Rasa Itu.

"Biasanya, saya dapat idea apabila melancong ke luar negara. Bagi saya, musim luruh selari dengan sifat berdikari, pada masa sama, sangat rapuh.

"Jadi, gabungan kedua-duanya menggambarkan kesedihan yang kuat," katanya.

Berita Harian X