Isnin, 4 March 2024 | 10:30pm
Isteri Aman, Reena menafikan dakwaan konon mengada-ngadakan cerita anak kedua sedang sakit dan ditidurkan bagi menagih simpati. Foto Ihsan Reena Arina
Isteri Aman, Reena menafikan dakwaan konon mengada-ngadakan cerita anak kedua sedang sakit dan ditidurkan bagi menagih simpati. Foto Ihsan Reena Arina

Anak kami betul-betul sakit - isteri Aman Graseka

KUALA LUMPUR: Isteri pelakon, Aman Graseka iaitu Reena Arina menafikan dakwaan konon mengada-adakan cerita anak mereka sakit dan sedang ditidurkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah, bagi menagih simpati.

Reena mendakwa anak kedua yang berusia tiga tahun, sudah empat hari ditidurkan selepas diserang sawan, Jumaat lalu.

"Anak kami sakit, bukannya rekaan. Kami terkejut apabila ada laporan mendakwa kami menghantar pesanan kepada Sharifah Shahirah (Shiera) meminta bantuan.

"Shiera memaklumkan melalui radio (Suria FM) meminta orang ramai mendoakan anak kepada Aman kembali sihat, tetapi, bukan minta bantuan.

"Disebabkan pernah tular kisah kami yang berpunca daripada 'scammer', ramai orang sudah tidak percayakan kami apabila perkara betul seperti ini berlaku," katanya kepada BH Online.

Reena mendakwa anaknya tidak demam, namun, keadaannya mungkin berpunca daripada strok haba berikutan cuaca di Kedah, sangat panas..

Tambah Reena, anak keduanya dibawa ke unit kecemasan di Hospital Baling (HB) sebelum dihantar ke HSB.

"Disebabkan anak saya tidak beri tindak balas, doktor maklumkan kepada kami anak terpaksa ditidurkan sebab takut jangkitan kuman merebak ke kepala.

"Jadi, kami putuskan untuk tidurkan anak dan bawa ke HSB. Ketika ini, anak masih ditidurkan agar dia dapat berehat. Namun, saya tegaskan, kami tiada minta bantuan Shiera.

"Tetapi, kami ada minta bantuan kerajaan negeri membiayai kos penginapan kerana kami perlu berada di Alor Setar. Kami tidak dibenarkan menunggu anak di unit rawatan rapi (ICU) di hospital terbabit," katanya.

Reena berharap penjelasan itu dapat mengikis persepsi buruk terutama dakwaan konon mereka mengada-ngadakan cerita. Tambahnya, dakwaan seumpama itu menjejaskan imej dan maruah mereka.

Sebelum ini, Shiera dilapor membuat perkongsian melalui Instagram (IG) mengenai kesusahan menimpa Aman. Shiera dilapor meminta bantuan agar pelakon senior terbabit tidak lagi meminta wang daripada rakan industri seni.

Berita Harian X