Isnin, 4 March 2024 | 3:38pm
Nelissa meninggalkan The Gadys kerana memberi tumpuan kepada karier lakonan. Foto Ihsan Nelissa Nizam
Nelissa meninggalkan The Gadys kerana memberi tumpuan kepada karier lakonan. Foto Ihsan Nelissa Nizam

Nelissa sedih kawan-kawan The Gadys kena kutuk

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nelissa Nizam yang juga bekas anggota The Gadys sedih menyedari rakan-rakannya dalam kumpulan itu menjadi mangsa kecaman ramai, sejak akhir-akhir ini.

Nelissa atau nama sebenar, Nelissa Edreena Nizam mahu orang ramai memberi peluang kepada The Gadys untuk memperbaiki mutu nyanyian kerana percaya teman-temannya itu sudah memberi yang terbaik.

"Tengok mereka kena kecam, sedih jugalah. Namun, bukanlah posisi saya untuk bercakap apa-apa sebab saya bukan lagi anggota kumpulan.

"Apa-apa pun, saya percaya mereka sudah beri persembahan terbaik di atas pentas. Tidak kisahlah orang hendak cakap apa pun kerana mereka boleh menyanyi di pentas. Jadi, diharapkan perkara ini menjadi pembakar semangat buat mereka.

"Malah, penyokong tidaklah kecam terlalu hebat dan beri peluang untuk mereka belajar menjadi lebih bagus.

Nelissa percaya teman-teman The Gadys sudah mencuba yang terbaik ketika beraksi di pentas. Foto Ihsan Nelissa Nizam
Nelissa percaya teman-teman The Gadys sudah mencuba yang terbaik ketika beraksi di pentas. Foto Ihsan Nelissa Nizam

"Saya percaya semua ini atas The Gadys sendiri. Saya tahu mereka kuat untuk berdepan semua ini dan diharapkan tidak berputus asa dan memperbaiki mutu persembahan masing-masing," katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, The Gadys tular selepas video yang memaparkan mereka mendendangkan lagu medley termasuk Cinta Sampai Mati serta Gadis dan Bunga pada Anugerah KNKV Viral 2024, mengundang kecaman.

Wakil syarikat pengurusan dilapor memberitahu tiga anggota kumpulan The Gadys iaitu Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Chan, tenang berdepan kecaman.

Wakil syarikat pengurusan juga dilapor menyebut kesilapan teknikal menjadi salah satu faktor mengganggu persembahan The Gadys.

Nelissa memuji rakan-rakannya apabila meneruskan persembahan biarpun berlaku kesilapan teknikal.

"Saya harap kita boleh lihat lebih banyak persembahan The Gadys selepas ini. Ada hikmah semua ini, perkara ini boleh dijadikan sebagai batu loncatan," katanya.

Nelissa yang baru-baru ini meraih trofi Artis Bintang Harapan Telenovela pada Anugerah Telenovela Ke-9 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia meninggalkan The Gadys kerana mahu fokus kepada dunia lakonan.

"Ketika membuat keputusan itu, saya ada tiga filem yang hendak ditayangkan 'back to back' (berturut-turut). Kasihan kepada mereka kalau saya dalam kumpulan itu lagi.

"Nanti dikhuatiri mereka kena ikut jadual saya. Jadi, saya putuskan berundur diri biarpun pilihan itu sukar dibuat," katanya sambil menambah teman-teman dalam The Gadys semuanya kawan yang baik.

Berita Harian X