Isnin, 4 March 2024 | 11:43am
Aisha dicium ibunya, Jean Retno Aryani selepas memenangi dua trofi pada AJL 38 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi. Foto NSTP Aziah Azmee
Aisha dicium ibunya, Jean Retno Aryani selepas memenangi dua trofi pada AJL 38 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi. Foto NSTP Aziah Azmee

Aisha Retno diserang 'anxiety' selepas buat persembahan

KUALA LUMPUR: Naib juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38, Aisha Retno diserang gangguan kebimbangan melampau atau 'anxiety' sebelum sesi sidang media bersama pemenang acara anugerah itu di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Aisha atau nama sebenar, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam tidak dapat menjelaskan insiden itu terperinci kerana di luar kawalannya.

"Apa yang saya boleh katakan, kita tidak tahu apa yang boleh berlaku kepada tubuh kita. Mungkin kepenatan, tetapi, saya tidak fikir keletihan sebagai alasan untuk kita sebagai artis.

"Apabila Allah kata hendak jadi, maka jadilah perkara itu," katanya pada sidang media yang dihadirinya selepas masalah kebimbangan melampau atau 'anxiety' hilang.

Biarpun tampak agak tidak bermaya, Aisha yang turut memenangi kategori Persembahan Terbaik melalui lagu Sutera, bersemangat melayan soalan media sebelum meminta dilepaskan lebih awal untuk berehat.

Mengenai kos dikeluarkan untuk persembahan yang memukau penonton, Aisha memilih untuk tidak mendedahkannya.

"Apa yang boleh saya cakap, sepanjang pembabitan saya dalam dunia seni, ini adalah kos paling besar dibelanjakan.

Aisha meraih trofi naib juara AJL 38 dan diumum pemenang kategori persembahan terbaik, malam tadi. Foto NSTP Aswadi Alias
Aisha meraih trofi naib juara AJL 38 dan diumum pemenang kategori persembahan terbaik, malam tadi. Foto NSTP Aswadi Alias

'Walaupun jumlah agak banyak, namun, saya puas hati dan rasa berbaloi dapat menang trofi persembahan terbaik," katanya yang tampil anggun mengenakan busana berkonsepkan wanita Jawa hasil sentuhan pereka terkenal, Teh Firdaus.

Lagu Sutera ciptaan Aisha dan MFMF menduduki tepat kedua AJL 38 membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM50,000 dan trofi.

Untuk kategori persembahan terbaik, Aisha meraih wang tunai RM12,000 dan trofi. Aisha menewaskan pesaing terdekatnya, Shiha Zikir yang mempertaruhkan lagu Kalam pada AJL 38.

Berita Harian X