Isnin, 4 March 2024 | 11:00am
Ella bertindak melakukan sesuatu apabila keadaan fizikalnya mudah letih, susah tidur dan berat badan naik secara mendadak ketika fasa menopaus. - NSTP/Rohanis Shukri
Ella bertindak melakukan sesuatu apabila keadaan fizikalnya mudah letih, susah tidur dan berat badan naik secara mendadak ketika fasa menopaus. - NSTP/Rohanis Shukri

Letih, sukar tidur dan berat badan naik lalui fasa menopaus

KUALA LUMPUR: Atas faktor peningkatan usia, Ratu Rock, Ella, 57, mengaku tidak mampu terus mengekalkan momentum 'lincah' ketika beraksi dalam apa sahaja persembahan pentas.

Ella mendedahkan kini melalui fasa menopaus berkata, dia perlu menjalani rawatan termasuk mendapatkan nasihat pakar mengenai penjagaan hormon.

Justeru, atas pengalaman peribadi, Ella atau nama sebenar, Nor Zila Aminuddin turut menasihati wanita yang akan menginjak usia 50-an untuk membuat persediaan awal sebelum melalui fasa berkenaan.

"Saya akui saya berada dalam fasa menopaus dan fikir kawan-kawan seangkatan juga mengalami perkara sama.

"Justeru, saya sering menasihati mereka mengenai penjagaan kesihatan merangkumi apa yang perlu dibuat, persediaan dan sebagainya.

"Boleh dikatakan, puncanya disebabkan masalah hormon seperti dimaklumkan oleh doktor pakar dalam bidang ini.

"Selepas melepasi usia 50 atau 55 tubuh seseorang wanita akan dapat rasa perubahan, jadi perlu bersedia untuk melalui fasa ini," katanya ketika ditemui BH Online pada majlis pengiktirafan atas komitmen dalam menyebarluaskan kepentingan kesihatan hormon oleh Skyhill Clinic di The Colony KL Eco City, di sini, baru-baru ini.

Ella berkata, dia perlu melakukan sesuatu apabila keadaan fizikalnya ketika ini mudah letih, susah tidur dan berat badan naik secara mendadak.

"Saya mula menjalani rawatan dikenali sebagai Terapi Hormon Bio Identik bersama doktor pakar dalam bidang hormon iaitu Dr Linda Mat Hassin sejak dua tahun lalu.

"Keadaan badan mudah lesu, kurang ceria, susah tidur dan masalah kenaikan berat badan memberi kesan kepada emosi iaitu hilang keceriaan dan semangat untuk melakukan aktiviti seperti orang lain," katanya.

Ella membuat perkongsian pada majlis pengiktirafan atas komitmen dalam menyebarluaskan kepentingan kesihatan hormon oleh Skyhill Clinic di The Colony KL Eco City, di sini, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Ella membuat perkongsian pada majlis pengiktirafan atas komitmen dalam menyebarluaskan kepentingan kesihatan hormon oleh Skyhill Clinic di The Colony KL Eco City, di sini, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Tambah Ella, selepas menjalani rawatan, dia mendapati keadaan emosi yang tidak menentu berpunca daripada ketidakseimbangan hormon, sekali gus boleh memberi impak kepada kualiti hidup.

"Saya mahu berkongsi kebaikan dan manfaat penjagaan serta rawatan hormon dengan rakan selebriti serta peminat.

"Kini berkat konsistensi saya dalam mengikuti nasihat pakar berserta rawatan, berat badan saya berkurangan seolah-olah kembali kepada usia 30-an," katanya.

Pada masa sama, Ella menasihati wanita yang mempunyai masalah sama untuk mendapatkan rawatan segera.

"Tidak dinafikan, perkara ini juga boleh mendatangkan kebimbangan kepada wanita kerana ada dikalangan mereka yang berusia 40-an sudah mengalaminya.

"Jadi, nasihat saya boleh segerakan rawatan hormon untuk memastikan kesihatan tubuh badan.

"Dengan rawatan dilakukan sakit semasa haid juga boleh dikawal dengan baik. Rawatan ini juga boleh mencantikkan kitaran haid seseorang wanita dan ini antara nasihat saya boleh berikan," katanya.

Ella berkata, pada awalnya, dia tidak mengetahui kepentingan penjagaan hormon yang berperanan menjaga kestabilan emosi terutama bagi wanita yang menuju ke fasa putus haid.

"Sebelum bertemu pakar, saya memang tidak pernah hadapi sebarang penyakit dan hanya tahu bacaan darah berada pada tahap serius.

"Apabila bertemu doktor, saya terkejut bacaan darah mencecah 190. Barulah saya tahu darah saya tinggi, hormon tidak menentu yang menjejaskan tahap kesihatan saya.

"Saya seperti nyaris dibawa ambulans kerana bacaan terlalu tinggi. Sedangkan saya tak tahu sedang menghidap sebarang penyakit selama ini," katanya.

Berita Harian X