Isnin, 4 March 2024 | 12:33am
Amir Jahari diangkat sebagai juara AJL 38 menerusi lagu ciptaan dan nyanyiannya, Hasrat. - NSTP/Aswadi Alias
Amir Jahari diangkat sebagai juara AJL 38 menerusi lagu ciptaan dan nyanyiannya, Hasrat. - NSTP/Aswadi Alias

Amir Jahari dinobat juara AJL 38

KUALA LUMPUR: Penyertaan kali kedua Amir Jahari sebagai finalis membawa tuah apabila lagu ciptaannya, Hasrat dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Kemenangan lagu runut bunyi filem Imaginur itu melayakkan Amir membawa pulang trofi dan wang tunai RM100,000.

"Terima kasih kepada isteri, ibu bapa dan mereka yang terbabit. Kemenangan ini untuk kita.

"Sejujurnya saya tak terbayang," katanya dengan nada sebak ketika beri ucapan atas kemenangan.

Naib juara AJL 38 menjadi milik lagu Sutera nyanyian dan ciptaan Aisha Retno dan MFMF, sekali gus menyaksikan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.

Menduduki tempat ketiga pula lagu Jangan Mati Rasa Itu nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Aina Abdul, sekali gus menerima wang tunai RM30,000 berserta trofi.

Aina turut membawa pulang trofi Vokal Terbaik dengan membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,000.

Seterusnya, kategori Persembahan Terbaik yang menawarkan ganjaran wang tunai RM12,000 dan trofi menjadi milik Aisha.

Pada malam kemuncak itu, Aina turut memenangi anugerah Penyanyi Pilihan Alha Alfa oleh penaja utama, Alha Alfa Cosmetics, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000.

Lagu lain turut dipertandingkan pada malam kemuncak AJL 38 adalah Astana nyanyian Ernie Zakri hasil ciptaan bersama Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman turut tersenarai sebagai finalis AJL 38.

Bekas juara AJL 32 dan AJL 33, Hael Husaini juga mara ke pentas akhir melalui lagu ciptaannya berjudul Bintang.

Lagu lain yang berjaya ke pentas AJL 38 termasuklah Santai (Naqiu/Faizal Tahir); Inilah Jalannya (Masdo/Noh Salleh) dan Darah (Marsha Milan/Naim Daniel dan Firdaus Rahmat).

Turut bersaing, Kalam (Shiha Zikir/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat); Kucuma (Wany Hasrita dan Afieq Shazwan/A Ramlee dan Ezra Kong/A Ramlee dan Ezra Kong).

AJL 38 turut mempertaruhkan lagu duet, Waktu (Hasif Upin dan Ziana Zain/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat) dan Selagi Ku Ada (Khai Bahar dan Nabila Razali/Amylea Azizan).

Acara anugerah berprestij itu menampilkan Alif Satar dan Sherry Alhadad sebagai hos.

AJL 38 membuka tirai dengan persembahan berkonsepkan 'girl band' yang menggandingkan dua penyanyi, Shila Amzah dan Vanessa Reynauld, manakala Sissy Iman sebagai pemain keyboard dengan 3 pemain muzik muda yang berbakat besar iaitu Naimi Daini (dram), Tasneem Bolhasan (bes) dan Anis Kalisa (gitar).

Segmen Interlude pula dijayakan oleh tiga penyanyi hebat, Datuk Zainal Abidin, Ella dan Dayang Nurfaizah.

Lebih tiga dekad penganjurannya, AJL bertujuan memartabatkan industri muzik dengan memberi pengiktirafan kepada komposer dan penulis lirik.

Diangkat sebagai acara muzik tahunan berprestij tempatan, AJL 38 mengetengahkan Muzikaverse gabungan dua perkataan iaitu muzik dan multiverse sebagai konsep serta tema persembahan, tahun ini.

Berita Harian X