Ahad, 3 March 2024 | 1:02pm
Siti terpaksa memadam entri berbentuk perkongsian ilmu berhubung cabaran suami isteri sebelum terus diperdebatkan dalam media sosial. - NSTP/Aziah Azmee
Siti terpaksa memadam entri berbentuk perkongsian ilmu berhubung cabaran suami isteri sebelum terus diperdebatkan dalam media sosial. - NSTP/Aziah Azmee

Siti tak kongsi masalah rumah tangga dalam media sosial

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menafikan dakwaan hantaran dimuat naik mengenai cabaran hubungan suami isteri dalam Instagram Story (IGs) berkaitan dengan rumah tangganya, baru-baru ini.

Tidak menyangka perkongsian berbentuk ilmu menimbulkan pelbagai spekulasi kurang enak, Siti berkata, dia terpaksa memadam entri berkenaan sebelum terus diperdebatkan dalam media sosial.

"Memang setiap Jumaat saya akan kongsi hantaran yang bukan sahaja mengenai rezeki dan adab, tetapi berkaitan perkahwinan.

"Kadang-kadang tujuan saya kongsi untuk beri ilmu. Tak sangka pula bila kongsi mengenai rumah tangga, orang kaitkan dengan saya. Bila orang asyik bercakap dan buat spekulasi tak bagus juga.

"Sebab itulah saya cepat-cepat padam. Kadang-kadang orang bertanya. Niat saya cuma nak kongsi ilmu.

"Tapi iyelah, kadang-kadang saya terlupa juga," katanya kepada BH Online.

Siti bersama suaminya, Datuk K ada Majlis Pelancaran Infaq Ramadan: Semarak Cinta Ramadan dan Yayasan Nurjiwa di Bamboo Hills, semalam. - NSTP/Aziah Azmee
Siti bersama suaminya, Datuk K ada Majlis Pelancaran Infaq Ramadan: Semarak Cinta Ramadan dan Yayasan Nurjiwa di Bamboo Hills, semalam. - NSTP/Aziah Azmee

Tambah penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu, dia juga bukanlah seorang yang gemar berkongsi kisah peribadi dalam media sosial.

"Selepas muat naik, barulah saya tersedar dan bertindak memadamkannya. Suami ada bertanya, apa yang saya kongsi dalam media sosial hingga dia dapat banyak pertanyaan.

"Biasanya saya akan selesaikan dengan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K). Kalau marah atau apapun, mesti saya WhatsApp suami dahulu.

"Sebelum orang lain memanjangkan cerita, lebih baik saya padam," katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Infaq Ramadan: Semarak Cinta Ramadan dan Yayasan Nurjiwa di Bamboo Hills, semalam.

Terdahulu, perkongsian Siti mengundang pelbagai reaksi netizen mengenai hubungannya dengan suami.

Hantaran itu mengenai layanan suami kepada isteri, ujian terbesar isteri dan enam alasan kenapa suami tidak boleh membentak isteri.

Berita Harian X