Ahad, 3 March 2024 | 11:00am
Gosip liar jadi teman baik Emma sejak bergelar pelakon popular pada 2012. - Foto IG Emma Maembong
Gosip liar jadi teman baik Emma sejak bergelar pelakon popular pada 2012. - Foto IG Emma Maembong

'Buat apa layan kalau tak betul'

KUALA LUMPUR: Ketika diajukan persoalan dakwaan terbabit dengan aktiviti tidak bermoral iaitu 'swinger' atau bertukar pasangan bagi tujuan hubungan seks, aktres jelita, Emma Maembong tidak melatah.

Sebaliknya, ibu kepada dua cahaya mata ini tenang menjawab satu demi satu persoalan diajukan dengan menganggap kontroversi itu sebagai isu picisan yang sengaja dibangkitkan pihak tertentu yang mahu menjatuhkannya.

Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 32, berkata gosip yang heboh diperkatakan dalam media sosial itu tidak berasas dan bersedia mengambil tindakan undang-undang sekiranya keterlaluan.

Malah, pelakon berdarah kacukan Melayu-Scotland ini menganggap fitnah atau gosip yang sengaja digembar-gemburkan sudah menjadi 'teman baik' sejak mula mencipta nama dalam industri seni pada 2012.

"Orang akan cakap saya macam-macam. Kalau perkara ini tiada kena mengena dengan saya, buat apa saya nak respons? Saya tidak akan layan.

"Buat apa saya hendak melatah sebab tuduhan tak benar. Kalau betul, ia sudah viral sejak dahulu lagi.

"Sejujurnya, saya malas hendak layan. Tapi, kalau keterlaluan sangat sudah tentu saya ambil tindakan. Kita ada undang-undang, kenapa hendak takut?

"Tapi saya fikir, ada ke duit hendak bayar jika saya saman? Kalau boleh saya tidak mahu isu ini berpanjangan," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, timbul dakwaan seorang artis wanita berkulit putih dan memiliki dua cahaya mata terbabit aktiviti bertukar pasangan untuk melakukan hubungan seks.

Artis berkenaan juga didakwa menawarkan rakannya melakukan seks dengan suaminya ketika hamil.

Gara-gara itu, nama Emma dan suami, Muhammad Shazli Azhar secara tidak langsung dipetik dan didakwa terbabit dengan aktiviti tidak bermoral berkenaan.

Biarpun sedar tuduhan berkenaan, pelakon kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu memilih tidak memanjangkan isu kerana enggan anak-anak dibayangi dengan cerita tidak baik mengenainya.

"Saya sudah ada anak. Jadi, saya tidak mahu anak baca berita tidak elok mengenai saya bila besar nanti. Kalau perkara benar, saya sendiri akan cakap sama ada betul atau tidak.

"Banyak kontroversi yang datang 'tembak' saya sejak dahulu. Sebelum berkahwin saya cuba elak terpalit dengan macam-macam cerita.

"Saya manusia biasa dan bukannya 'robot' yang tidak buat apa-apa. Sebenarnya, saya dan fitnah sudah seperti kawan baik," katanya.

Emma tak mahu memanjangkan isu panas kerana enggan anak-anak dibayangi kisah tidak baik mengenainya. - Foto IG Emma Maembong
Emma tak mahu memanjangkan isu panas kerana enggan anak-anak dibayangi kisah tidak baik mengenainya. - Foto IG Emma Maembong

Ditanya respons suami terhadap tuduhan berkenaan, Emma berkata, mereka saling memahami mengenai situasi masing-masing sejak awal perkahwinan lagi.

"Sebelum berkahwin, saya cakap terus terang yang dia berkahwin dengan pelakon. Jadi, kena bersedia dengan jadual sibuk dan sebagainya.

"Saya tak mahu selepas kahwin jadi senyap sebab suami tidak izinkan berlakon. Disebabkan itu, kami sudah berbincang awal mengenai perkara ini.

"Gosip keluar kena tanya antara satu sama lain dan jangan melatah. Kadang-kadang ada sahaja gosip yang buatkan suami geram. Tapi, saya cakap tak perlulah balas," katanya.

Dalam situasi tertekan dan penuh mencabar, Emma mengakui kekuatannya adalah suami dan anak-anak.

"Dahulu penguat saya adalah ayah dan mama. Sekarang suami dan anak-anak pula. Keluarga menjadi penambah kekuatan saya untuk menjalani hidup.

"Jadi, bila ada gosip berpanjangan dan cerita tak menarik, saya tak mahu terlalu mempedulikannya. Lebih baik saya cerita perkara elok sahaja.

"Bagi saya, fitnah tiada apa-apa selagi rumah tangga terjaga. Alhamdulillah, saya bersyukur atas peluang diberikan.

"Buat masa ini, saya tak mahu keadaan jadi lebih ribut," katanya.

Emma mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Shazli yang juga juruterbang pada 20 Februari 2020.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Shariq Gabriel, 3, dan Shakil Aryan Shah, 1.

Berita Harian X