Sabtu, 2 March 2024 | 11:50pm
Ali berkongsi, memasukkan wang hutang saman RM72,490 dalam akaun bekas kakak iparnya, Hidayah hari ini. - Foto TikTok Ali Puteh
Ali berkongsi, memasukkan wang hutang saman RM72,490 dalam akaun bekas kakak iparnya, Hidayah hari ini. - Foto TikTok Ali Puteh

Ali selesai hutang, masuk duit RM72,490 dalam akaun Hidayah

KUALA LUMPUR: Pelawak, Ali Puteh memaklumkan sudah menyelesaikan bayaran hutang saman kepada bekas kakak iparnya, Siti Norhidayah Mohd Ali atau Hidayah berjumlah RM72,490 hari ini.

Wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun Hidayah selepas menerima maklumat berhubung pembayaran.

Ali atau Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 35, berkata menerusi hantaran di laman TikTok miliknya, dia memasukkan wang tersebut menerusi mesin deposit tunai.

"Hari ini (Sabtu) saya sudah selesaikan apa yang tertunggak. Saya baru balik daripada bank memandangkan baru ada kelapangan.

"Bank tutup pula jadi terpaksa guna CDM (cash deposit machine)," katanya.

Ali memuat naik video memaklumkan perkara tersebut berserta 27 keping resit sebagai bukti pembayaran.

Tambah Ali, jumlah tersebut juga ditolak sebanyak RM3,000 daripada tuntutan asal kerana Hidayah juga ada berhutang dengannya.

Oleh itu, Ali berharap tiada lagi isu berbangkit berkaitan tuntutan hutang seperti yang sering dibangkitkan sebelum ini.

"Balu (Hidayah) juga ada sangkut hutang dengan saya RM3,000. Peguam kata kontrakan sahaja dengan jumlah wang ini.

"Jadi saya bayar RM72,490. Selepas ini, saya harap tiada lagi sebarang dakwaan atau berpanjangan isu ini. Maaf lambat sedikit sebab ada kekangan kerja," katanya.

Dalam hantaran yang sama, Ali berkata, dia melihat kemelut yang berlaku sebagai pengajaran dan kini, mahu fokus kepada perniagaannya sebagai sumber ekonomi.

"Saya ambil ini sebagai satu pengajaran buat diri sendiri dan semua. Selepas ini, fokus kacau sambal," katanya.

Terdahulu, 20 Februari lalu, Ali datang ke rumah Hidayah bagi menyerahkan hutang sebanyak RM75,000 kepada Hidayah.

Bagaimanapun, wanita berkenaan enggan menerima secara tunai dan meminta Ali membawa wang ke pejabat peguam atau dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Wang itu adalah tuntutan selepas Ali kalah dalam kes saman fitnah terhadap Hidayah seperti mana ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Disember 2022.

Berita Harian X