Sabtu, 2 March 2024 | 6:25pm

Siti ramal tiga penyanyi wanita dominasi AJL 38

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza meramalkan penyanyi wanita bakal mendominasi kedudukan teratas malam kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL 38) yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam esok.

Siti berkata, tiga penyanyi yang dimaksudkan adalah Aina Abdul, Ernie Zakri dan Aisha Retno.

"Sebenarnya kena tonton dahulu persembahan baru boleh ramal siapa menang.

"Lagu sudah dipilih kerana saya juga pernah jadi juri sebelum ini. Hanya persembahan sahaja akan dipilih masa pertandingan nanti.

"Tapi, wallahualam kerana setiap penjurian berbeza dan juri pun berlainan," katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Siti yang pernah memenangi trofi utama AJL sebanyak tiga kali menerusi lagu Jerat Percintaan, Cindai dan Balqis tidak menolak kemungkinan Kumpulan Masdo mampu cipta kejutan.

"Bagi saya, Masdo ada 'sesuatu' yang membolehkan mereka membuat kejutan malam AJL 38," ujar Siti ditemui pada majlis pelancaran Kempen Infaq Ramadan: Semarak Cinta Ramadan Yayasan Nurjiwa di Bamboo Hills, di sini, petang tadi.

Siti ramal tiga penyanyi wanita bakal mendominasi AJL 38, malam esok. - NSTP/Aziah Azmee
Siti ramal tiga penyanyi wanita bakal mendominasi AJL 38, malam esok. - NSTP/Aziah Azmee

Bertemakan Muzikaverse cukup ikonik, AJL 38 menyaksikan pemegang takhta Juara Lagu pada AJL 37, Aina meneruskan penguasaan di pentas berprestij apabila mara ke pusingan akhir menerusi lagu ciptaannya, Jangan Mati Rasa Itu.

Lagu mencetuskan kontroversi, Astana nyanyian Ernie Zakri hasil ciptaan bersama Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman turut tersenarai sebagai finalis AJL 38.

Bekas juara AJL 32 dan AJL 33, Hael Husaini juga mara ke pentas akhir melalui lagu ciptaannya berjudul Bintang.

Lagu lain yang berjaya ke pentas AJL 38 termasuklah Sutera (Aisha Retno/Aisha Retno dan MFMF/Aisha Retno); Santai (Naqiu/Faizal Tahir); Inilah JalanNya (Masdo/Noh Salleh) dan Darah (Marsha Milan/Naim Daniel dan Firdaus Rahmat).

Turut bersaing, Kalam (Shiha Zikir/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat); Hasrat (Amir Jahari/Amir Jahari) dan Kucuma (Wany Hasrita dan Afieq Shazwan/A Ramlee dan Ezra Kong/A Ramlee dan Ezra Kong).

AJL 38 turut mempertaruhkan lagu duet, Waktu (Hasif Upin dan Ziana Zain/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat) dan Selagi Ku Ada (Khai Bahar dan Nabila Razali/Amylea Azizan).

Siti tidak menolak kemungkinan Kumpulan Masdo mampu cipta kejutan pada malam kemuncak AJL 38. - NSTP/Aziah Azmee
Siti tidak menolak kemungkinan Kumpulan Masdo mampu cipta kejutan pada malam kemuncak AJL 38. - NSTP/Aziah Azmee
Berita Harian X