Sabtu, 2 March 2024 | 1:00pm
Sam berpendapat, filem La Luna tiada apa yang kontroversi, tapi mungkin ada beberapa individu yang tak boleh terima pandangan orang lain. - NSTP/Aziah Azmee
Sam berpendapat, filem La Luna tiada apa yang kontroversi, tapi mungkin ada beberapa individu yang tak boleh terima pandangan orang lain. - NSTP/Aziah Azmee

'Tak mahu komen kontroversi La Luna'

KUALA LUMPUR: Tidak mahu menambahkan kekeruhan terhadap filem La Luna yang dikritik teruk, teraju utamanya, Shaheizy Sam memilih tidak terlalu mengulas mengenainya.

Sam memainkan watak polis kampung bernama Salihin Arshad mengakui, filem arahan M Raihan Halim adalah antara naskhah filem terbaik pernah dijayakan.

Biarpun filem La Luna menerima kritikan hebat selepas ditayangkan di platform penstriman Netflix, namun Sam ada sebab yang membuatkannya tertarik dengan naskhah itu.

"Bagi saya, pandangan setiap manusia berbeza. Bercakap soal niat melakukan sesuatu perkara, hanya Allah yang tahu niat seseorang.

"Saya tak nak beri komen kerana saya ada pendirian kenapa bersetuju terima tawaran.

"Sebenarnya berbalik pada kita sendiri bagaimana mengaitkan sesuatu perkara dengan soal agama, tapi saya tiada masalah untuk terima pandangan orang," katanya yang ditemui pada majlis sidang media Salam Ramadan Masa Anugerah Terindah Astro, kelmarin.

Sam berkata, dia ada berbual dengan beberapa ustaz ketika menunaikan umrah dan bertanyakan pandangan mereka mengenai filem La Luna, baru-baru ini.

Katanya, mereka berpandangan tiada apa-apa yang perlu dikritik mengenai filem La Luna.

"Mereka kata filem La Luna tak ada apa-apa. Saya beritahu ada ustaz beri pandangan mengenai filem ini, tetapi ustaz bersama saya di Makkah berasakan filem itu tiada unsur negatif.

"Bagi saya, filem La Luna tiada apa yang kontroversi, tapi mungkin ada beberapa individu yang tak boleh terima pandangan orang lain," katanya kepada BH Online.

Sam menyifatkan watak polis kampung bernama Salihin Arshad antara naskhah filem terbaik pernah dijayakan.
Sam menyifatkan watak polis kampung bernama Salihin Arshad antara naskhah filem terbaik pernah dijayakan.

Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-24 yang sudah lebih tiga dekad dalam industri seni bagaimanapun mendedahkan ada kalanya dirinya segan apabila menonton sesetengah drama yang ada unsur keterlaluan.

Namun, Sam berkata, dia tidak bimbang membintangi filem La Luna kerana pembikinan filem lebih selamat berikutan wujud Lembaga Penapis Filem (LPF) yang akan menapis isi kandungan karya terlebih dahulu.

"Bagi saya, kalau keterlaluan tentunya ada rasa segan. Sebagai pelakon beragama Islam saya tahu di mana tahap saya.

"Sebelum melakonkan sesuatu watak, biasanya saya akan lakukan kajian dan penilaian.

"Tapi, saya bukan bijak pandai agama, jadi apa yang saya kaji terhad kepada sudut pandangan sebagai pelakon," katanya.

Berkongsi perkembangan karier lakonan, Sam kini bergandingan dengan Emma Maembong dalam drama Takdir Itu Milik Aku yang bersiaran di Astro Ria.

Menurut Sam, itu kali pertama membawakan watak kasar dan tidak beradab selepas sekian lama tidak muncul di kaca televisyen.

Tidak mahu anak-anak melihat dirinya melakonkan watak negatif, Sam berkata, dia mengingatkan isterinya, Syatilla Melvin supaya tidak memberi anak-anak menonton drama lakonannya.

"Jujurnya, walaupun sudah memasuki tiga episod, saya tak benarkan isteri beri anak-anak tonton drama ini.

"Ini kerana saya tak nak anak-anak terpengaruh dengan perangai negatif saya dalam drama sehingga buatkan mereka rasa okay melakukan perkara sama," katanya.

Berita Harian X