Sabtu, 2 March 2024 | 11:00am
Pentas AJL bukan sahaja mengasah kemahiran Sherry berinteraksi, malah mengajar lebih peka dan berfikir pantas dalam membuat keputusan. - Foto Ihsan TV3
Pentas AJL bukan sahaja mengasah kemahiran Sherry berinteraksi, malah mengajar lebih peka dan berfikir pantas dalam membuat keputusan. - Foto Ihsan TV3

Tunggu kejutan AJL 38

KUALA LUMPUR: Memulakan langkah pertama sebagai hos Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL 32) pada 2017, nama Sherry Alhadad terus diberi kepercayaan untuk mengendalikan malam kemuncak AJL 38 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam esok.

Meskipun awalnya ada pihak yang mempersoalkan pemilihannya sebagai hos anugerah berprestij itu, namun siapa sangka, edisi kali ini adalah tahun kelima Sherry menggalas tanggungjawab itu.

Mengimbau kembali detik itu, pemilik nama sebenar Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad bagaimanapun mengakui, dia tidak terasa hati dengan kata-kata sinis dilemparkan.

Malah, katanya, dia sentiasa bersikap positif dan berusaha memberikan yang terbaik dalam apa juga kerja dilakukan.

"Bila teringat semula pada peringkat awal pembabitan saya sebagai hos AJL, memang ada pihak yang mempersoalkan kenapa saya jadi pilihan.

"Barangkali mereka berasakan saya tidak layak kerana AJL adalah anugerah berprestij dan pastinya memerlukan pengacara yang setaraf dengan statusnya.

"Tapi, saya tak pernah berkecil hati atau simpan dendam terhadap individu yang mempertikaikan pemilihan saya. Bagi saya, sesiapa sahaja yang mempunyai bakat dalam bidang pengacaraan harus diberi peluang untuk menjadi hos AJL.

"Ini kerana pentas AJL memainkan peranan dalam membentuk seseorang menjadi pengacara yang bagus," katanya kepada BH Online.

Sepanjang empat kali mengendalikan acara anugerah tahun terbitan TV3 itu, pelakon drama bersiri Misteri Wan Peah itu mengakui, AJL bukan sahaja mengasah kemahiran berinteraksi dengan audiens, bahkan mengajar dirinya lebih peka dan berfikir pantas dalam membuat keputusan.

"Pernah berlaku selepas mengumumkan persembahan peserta seterusnya, tiba-tiba saya dapat isyarat daripada pihak produksi menyatakan artis belum bersedia kerana terdapat masalah teknikal.

"Bila berlaku kejadian tidak diduga seperti itu, sebagai pengacara saya kena bertanggungjawab memastikan situasi terkawal.

"Pengacara kena main peranan beritahu penonton, namun pada masa sama tak nampak janggal. Memang mencabar, namun itu adalah antara pengalaman perlu dihadapi bila mengacarakan program secara 'live'.

"Orang mungkin nampak tugas kami mudah, tapi hakikatnya sangatlah mencabar," luah Sherry.

Barisan finalis yang bakal berentap pada malam kemuncak AJL 38 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam esok. - Foto Ihsan TV3
Barisan finalis yang bakal berentap pada malam kemuncak AJL 38 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam esok. - Foto Ihsan TV3

Diusik soalan adakah dirinya kini setaraf dengan pengacara ikonik AJL terdahulu seperti Datuk Aznil Nawawi dan Cheryl Samad yang cukup sinonim dengan acara itu, Sherry berbesar hati jika perkara itu menjadi kenyataan.

"Sekarang setiap kali AJL ramai yang sudah mula meneka atau serkap jarang menyatakan sayalah yang bakal mengendalikan acara itu, walhal saya sendiri tak tahu apa-apa.

"Rasa seronok juga bila ada yang memberi reaksi sedemikian seolah-olah wajah saya memang sinonim dengan AJL. Tapi, tak adalah nak cakap AJL tidak lengkap tanpa saya, belum sampai tahap seperti itu.

"Gahnya AJL bukan kerana pengacara, tetapi lebih kepada finalis yang bertanding iaitu komposer, penulis lirik dan penyanyi," ujarnya merendah diri.

Jika melihat kepada iklan disiarkan, hanya ada tiga wajah sahaja yang diumumkan bakal beraksi pada malam kemuncak AJL 38.

Selain Sherry, dua lagi personaliti terpilih adalah Fiza Frizzy dan Fizi Ali yang ditugaskan untuk mengendalikan acara permaidani merah.

Adakah edisi AJL 38 juga bakal melakar sejarah apabila menampilkan Sherry beraksi solo.

Menjawab pertanyaan itu, bekas pengacara Muzik-Muzik itu memaklumkan, dia akan ditemani seseorang, namun enggan mendedahkan siapakah individu yang bakal bergandingan dengannya malam itu.

"Saya tak boleh nak dedahkan siapakah gerangan individu ini. Kalau nak tahu, kenalah tunggu malam esok.

"Nama pun AJL paling ikonik, kenalah ada kejutan. Tak kisahlah siapapun pengacaranya, kerana apa yang penting, acara ini dapat mengangkat komposer, penulis lirik dan penyanyi," ungkapnya.

Bermula dengan AJL 32, khidmat Sherry turut digunakan untuk mengendalikan malam kemuncak AJL 33, AJL 34, AJL 35 dan AJL 37.

Berita Harian X