Jumaat, 1 March 2024 | 1:23pm
Nam Ron tak ikut skrip 100 peratus, tiada babak bersentuhan dengan Farah Ahmad. - NSTP/Aziah Azmee
Nam Ron tak ikut skrip 100 peratus, tiada babak bersentuhan dengan Farah Ahmad. - NSTP/Aziah Azmee

Nam Ron tak kisah dilabel 'pelakon gatal'

KUALA LUMPUR: Pelakon Nam Ron terbuka dalam menerima setiap pandangan penonton yang menyaksikan lakonannya sebagai Ayob dalam filem La Luna arahan M Raihan Halim.

Nam Ron atau nama sebenar, Shahili Abdan berkata, dia tidak kisah digelar pelakon gatal atau seumpamanya kerana baginya Ayob adalah watak rekaan yang dipaparkan dalam filem La Luna.

"Tak mengapa orang nak cop apapun, saya okay sahaja. Saya kenal siapa diri saya, tidak seperti dalam filem ini. Jadi, orang nak gelar apapun saya terima.

"Sebab itu hanyalah tanggapan orang, tapi bukan diri saya. Mungkin watak dibawakan buruk di mata sesetengah orang, tetapi ia tetap berjaya.

"Saya mungkin akan terkesan kalau majoriti cakap benda sama. Misalnya, filem didakwa berunsur lucah, tapi berdasarkan komen, ada sahaja yang tidak berfikiran negatif.

"Ramai berasakan filem La Luna menghiburkan. Ada juga yang komen buruk, tapi bila hasilkan filem ada sasaran penonton dan tak boleh jangka semua orang suka," katanya kepada BH Online.

Menerusi filem La Luna, Nam Ron menghidupkan watak Ayob dan digandingkan dengan Farah Ahmad yang membawa watak isterinya, Enah.

Ada beberapa babak suami isteri antara Ayob dan Enah membuatkan segelintir penonton kurang selesa.

Justeru, penerima trofi Pelakon Filem Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-29 itu juga berpendapat penonton Malaysia belum terbuka untuk menerima paparan sedemikian dalam karya tempatan.

"Ya, mungkin penonton belum boleh terima. Ketika penggambaran, ada juga saya fikirkan babak ini mungkin akan terima komen negatif.

"Sebab itulah banyak yang dibincangkan dengan pengarah ketika penggambaran supaya babak tidak nampak keterlaluan.

"Jika baca skrip ia lebih teruk cara paparannya, tapi kami lembutkan babak ini. Kami tidaklah ikut skrip 100 peratus dan selaraskan.

"Kalau tengok babak saya bersama Farah, tiada pun kami bersentuhan. Sudah tentu kami tahu batasan," katanya.

Nam Ron menafikan filem La Luna mempunyai agenda mempersendakan agama atau seumpamanya seperti yang didakwa. - NSTP/Aziah Azmee
Nam Ron menafikan filem La Luna mempunyai agenda mempersendakan agama atau seumpamanya seperti yang didakwa. - NSTP/Aziah Azmee

Di sebalik pendapat sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan kandungan dipaparkan filem La Luna, Nam Ron berkata, karya itu tidak mempunyai agenda mempersendakan agama atau seumpamanya seperti yang didakwa.

Baginya, filem La Luna tidak lain hanyalah filem yang hanya mahu menghiburkan penonton.

"Kita tonton filem dan sifatkan ia sebagai filem. Tapi, kadang-kadang kita ini banyak berfikir sesebuah filem ada agenda.

"Bila buat filem, kami tak fikirkan pun agenda, hanya buat untuk menyampaikan cerita. Sekadar nak bercerita.

"Mungkin ada orang boleh terima dan yang tidak. Bila tengok filem ini kita boleh lihat ia adalah kombinasi kisah serius dan komedi. Tengok nak gelak-gelak, itu sahaja," katanya.

Berkongsi pendapatnya apabila filem La Luna kurang mendapat sambutan di pawagam berbanding di platform penstriman Netflix, Nam Ron berkata, mungkin sebab kurang promosi.

"Saya rasa ketika menayangkan filem di pawagam, promosinya kurang dan kadang-kadang bajet promosi tidak besar.

"Bila ditayangkan di Netflix, mudah untuk orang ramai akses dan tonton. Jujurnya, bila keluar pawagam kami pelik filem ini tidak dapat sambutan sebab lihat sambutan pada majlis tayangan perdana, semuanya memberikan maklum balas positif.

"Sebagai pelakon, saya seronok bila dapat komen positif dan percaya penonton akan terhibur. Tapi berlaku sebaliknya apabila ditayangkan di pawagam dan ramai tak tahu," katanya.

La Luna ditayangkan di pawagam Malaysia pada November tahun lalu, namun menjengah platform Netflix sejak 9 Februari lalu.

Berita Harian X