Khamis, 29 Februari 2024 | 3:01pm
Erra bersyukur anak tunggalnya, Aleesya tidak pernah memberontak atau merasakan dirinya dikongkong dengan syarat yang ditetapkan. - Foto IG Erra Fazira
Erra bersyukur anak tunggalnya, Aleesya tidak pernah memberontak atau merasakan dirinya dikongkong dengan syarat yang ditetapkan. - Foto IG Erra Fazira

Erra tak kongkong Aleesya, tapi letak syarat pergaulan

KUALA LUMPUR: Pelakon Erra Fazira tidak menghalang anaknya, Engku Aleesya Engku Emran, 15, berkawan namun meletakkan syarat dalam pergaulan.

Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 50, berkongsi dia atau bekas suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin akan mengawal mengikut kesesuaian.

Biarpun pergaulan Aleesya dikawal, namun Erra bersyukur anak tunggalnya tidak pernah memberontak atau merasakan dirinya dikongkong.

"Saya tak halang Aleesya untuk berkawan. Tapi, syaratnya saya kena teman atau mungkin dekat dengannya untuk memerhati.

"Memang Aleesya tidak terlalu bebas dan perlu sentiasa berteman. Kalau tidak dengan saya, bapanya yang akan menemaninya.

"Alhamdulillah, setakat ini, Aleesya tidak pernah lagi memberontak atau anggap dirinya dikongkong. Saya pun tidak mahu terlalu mengongkong anak.

"Kalau nak tengok wayang, boleh, tapi kalau dengan lelaki 'no' (tidak). Saya letakkan syarat begitu," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Erra berkata, dia bukanlah mahu terlalu mengongkong kehidupan anaknya, sebaliknya mahu berjaga-jaga, lebih lagi, pada zaman yang semakin terdedah dengan media sosial.

"Dengan pendedahan media sosial yang semakin terbuka, saya rasa itu adalah cara terbaik yang boleh saya lakukan terhadap Aleesya.

"Jadi, salah seorang kena teman Aleesya. Mungkin sebab saya hanya ada anak seorang sahaja. Kalau ada anak ramai, adik-beradik boleh menemaninya," katanya.

Erra bukan terlalu mengongkong kehidupan Aleesya, sebaliknya mahu berjaga-jaga, lebih lagi, pada zaman yang semakin terdedah dengan media sosial. - Foto IG Erra Fazira
Erra bukan terlalu mengongkong kehidupan Aleesya, sebaliknya mahu berjaga-jaga, lebih lagi, pada zaman yang semakin terdedah dengan media sosial. - Foto IG Erra Fazira

Berikutan itu, Erra tidak menafikan cabaran membesarkan anak perempuan yang semakin menginjak usia remaja, lebih lagi, selepas bergelar ibu tunggal.

"Sebagai ibu yang membesarkan anak perempuan yang semakin meningkat dewasa, saya sendiri mengakui kesukarannya. Memang mencabar.

"Kalau sebelum ini saya tertanya-tanya betul ke membesarkan anak perempuan lebih susah berbanding menjaga 10 anak lelaki? Benar memang sukar.

"Kadang-kadang saya tidak faham tiba-tiba Aleesya jadi 'moody' dan bermain dengan emosi. Jadi, saya perlu sabar.

"Sebagai ibu, tipulah kalau saya tidak tertanya-tanya kenapa dia jadi begitu? Tapi, itu adalah proses peralihan usia.

"Bila saya tanya ibu lain, perkara itu normal bagi remaja perempuan ketika mengalami fasa peningkatan usia. Tunggulah Aleesya lebih dewasa, dia akan lebih matang," katanya yang ditemui pada Anugerah Telenovela Ke-9 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Terdahulu, Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer dan penyanyi, Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, namun bercerai tiga tahun kemudian. Perkahwinan itu tidak dikurniakan cahaya mata.

Erra berkahwin buat kali kedua dengan dengan Engku Emran dan dikurniakan Engku Aleesya yang kini berusia 15 tahun. Namun, mereka bercerai selepas tujuh tahun berkahwin.

Berita Harian X