Rabu, 28 Februari 2024 | 5:15pm
Beto meluahkan rasa terkilan apabila masih belum berkesempatan menonton filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah disebabkan kepadatan jadual kerja. - NSTP/Hazreen Mohamad
Beto meluahkan rasa terkilan apabila masih belum berkesempatan menonton filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah disebabkan kepadatan jadual kerja. - NSTP/Hazreen Mohamad

Beto enggan ulas kegagalan kutipan filem Pendekar Awang

KUALA LUMPUR: Tiada istilah iri hati tidak ditawarkan membintangi filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, pelakon Beto Kusyairy sebaliknya mendoakan kejayaan filem epik itu.

Malah, Beto enggan mengulas mengenai kutipan filem itu yang kurang memberangsangkan jika dibandingkan dengan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mencecah kutipan hampir RM100 juta.

Ketiadaan beberapa tunjang utama seperti Beto, Datuk Adi Putra dan pengarahnya, Syamsul Yusof dikatakan menjadi punca 'kegagalan' filem terbitan Studio Kembara itu.

Namun, Beto tidak merasakan ia ada kaitan dengan perkara berkenaan.

"Bukan hak saya mengulas mengenai kutipan tiket filem berkenaan kerana saya tidak terbabit dalam naskhah itu.

"Kali ini, pasukannya daripada pengarah, penulis sehinggalah barisan pelakon semuanya berbeza.

"Jadi, saya sentiasa mendoakan yang terbaik dan langsung tak terasa hati," katanya yang ditemui pada majlis pembukaan Butik Elrah Shoppes At Four Seasons, baru-baru ini.

Beto meluahkan rasa terkilan apabila masih belum berkesempatan menonton filem arahan Sharuddin Dali dan Saiful Reza Shukor itu disebabkan kepadatan jadual kerja.

Katanya, dia memang teringin menonton filem lakonan Fatah Amin, tetapi jadual penggambaran yang padat tidak mengizinkannya.

"Selain filem The Original Gangster, saya turut terbabit dalam filem Reversi arahan Adrian Teh, iaitu kisah cinta tragis.

"Jadi, kesibukan dengan satu demi satu penggambaran menyebabkan saya tak berkesempatan ke pawagam menonton filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah," ujarnya.

Tiada istilah iri hati, sebaliknya Beto mendoakan yang terbaik biarpun tidak terpilih membintangi filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.
Tiada istilah iri hati, sebaliknya Beto mendoakan yang terbaik biarpun tidak terpilih membintangi filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Berkongsi mengenai filem Reversi, filem itu turut dibarisi nama besar lain seperti Vanidah Imran, Zahiril Adzim, Hasnol Rahmat, Azhan Rani, Amyza Aznan dan Shiqin Kamal.

Tambah Beto, walaupun usianya kini sudah mencecah 44 tahun, tetapi tiada masalah melakonkan naskhah cinta.

Katanya, dia tidak pernah meletakkan dirinya pada sesuatu genre mengikut peringkat usia.

"Sebagai pelakon, saya tak boleh letakkan diri pada satu genre sahaja. Pelakon seharusnya terbabit dengan pelbagai genre kerana itulah definisi pelakon.

"Saya tak pernah letakkan sasaran bila sudah capai satu tahap umur, tak boleh lagi berlakon dalam filem cinta dan sebagainya," katanya.

Diminta mengulas mengenai filem dan drama yang kian terbuka sehingga digelar liberal, sejak akhir-akhir ini, Beto berkata, ia terpulang pada interpretasi penonton kerana miliki selera berbeza.

Namun, diakui, filem sekarang lebih ke depan dari sudut kualiti dan penceritaan, tetapi itu bukan bermakna menyokong filem berunsur liberal.

"Saya tak nak komen banyak kerana setiap orang ada perspektif sendiri. Apa boleh saya katakan mana yang baik kita raikan kerana selera setiap manusia berbeza.

"Apa yang penting ada peningkatan dari sudut pembikinan dan penceritaan.

Mudahan momentum ini boleh menjadi inspirasi untuk pembikin filem menghasilkan karya lebih baik pada masa akan datang.

"Kita kena contohi negara jiran yang semakin maju," katanya.

Berita Harian X