Rabu, 28 Februari 2024 | 11:04am
Afieq cari chemistry kali pertama berduet dengan Wany menerusi lagu Kucuma di pentas AJL 38, Ahad ini. - NSTP/Nur Raihana Alia
Afieq cari chemistry kali pertama berduet dengan Wany menerusi lagu Kucuma di pentas AJL 38, Ahad ini. - NSTP/Nur Raihana Alia

Wany, Afieq cari keserasian

KUALA LUMPUR: Penyanyi Wany Hasrita enggan membiarkan tekanan menguasai diri meskipun sedar beban mendendangkan lagu Kucuma bersama gandingan gantian, pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38, Ahad ini, bukan sesuatu yang boleh dianggap enteng.

Tidak menafikan perubahan pada saat akhir sedikit sebanyak memberi kesan, Wany atau nama sebenar, Nurshazwany Hasrita Hasbullah bersyukur mendapat dorongan suami, Mohd Al-Adib Fahmi Harun untuk memberi yang terbaik biarpun rakan duet asal lagu berkenaan, Datuk Jamal Abdillah tidak beraksi.

"Suami saya 'cool'. Dia minta saya nyanyi sahaja sebab Kucuma adalah lagu saya sendiri. Baginya, dapat mara ke pentas akhir AJL 38 bukan mudah dan tidak tahu, apakah dapat peluang sama selepas ini.

"Suami minta saya ambil peluang ini dan buat sehabis baik," katanya pada sesi fotografi mempromosikan AJL 38 terbitan TV3 di Balai Berita, Kuala Lumpur, kelmarin.

Memilih terus optimis meneruskan perjuangan bersama Afieq Shazwan yang menggantikan tempat Jamal, Wany percaya jejaka itu mampu memberi yang terbaik dalam menghidupkan lagu ciptaan A Ramlee dan Ezra Kong itu.

"Tekanan saya anggap perlakuan sendiri. Jadi, diri sendiri kena lihat perkara itu dari sudut positif dan teruskan usaha. Apabila dapat tahu Afieq akan menyanyikan Kucuma, saya okay.

"Walaupun tidak pernah berduet dengan Afieq, saya tahu cara dia bekerja. Kami juga bernaung di bawah syarikat rakaman sama.

"Apabila berada dalam kelas nyanyian, Afieq bukan menyanyi sahaja, sebaliknya dia bagi input.

"Afieq diberi tanggungjawab besar. Kalau jadi dia, saya sendiri terfikir apa yang hendak dibuat.

"Namun, saya nampak Afieq relaks dan bersabar. Saya faham apabila Afieq cakap dalam tempoh sekarang, dia tidak mahu jadi diri sendiri.

"Saya pun sama. Kami ada tanggungjawab yang perlu diselesaikan Ahad ini," katanya.

Wany tidak berselindung perasaan sedih apabila Jamal tidak beraksi bersama pada Ahad ini. Namun Wany menghormati keputusan dan pendirian penyanyi legenda itu.

"Sebaik dapat berita itu, saya sudah sedia dari aspek mental dan fizikal. Apabila muhasabah diri, kita faham tidak semua berjalan mengikut apa yang dirancang.

"Saya hormati dan akur keputusan Jamal. Saya bertanya FMC Music siapa yang boleh menggantikan Jamal kerana beliau tiada galang gantinya.

"Saya serahkan kepada FMC Music mengenai pengganti Jamal dan saya akan tetap menyanyi pentas AJL 38 kelak," katanya yang mengambil pendekatan profesional berdepan situasi itu, apatah lagi dia menyanyikan lagu ciptaan komposer.

Kali pertama menjejakkan kaki ke pentas AJL, Afieq mengaku tekanan bukan kepalang, apatah lagi, dia menggantikan tempat penyanyi bertaraf legenda.

"Macam-macam saya rasa. Ada takut dan gementar. Namun, rasa gemuruh lebih hebat sebab ada orang yang akan meletakkan harapan besar kepada kita. Jadi, hendak memuaskan hati semua orang, bukanlah suatu perkara mudah.

"Orang akan buat perbandingan. Saya dan Wany kali pertama berduet. Sebelum ini, kami menyanyi bersama tetapi beramai-ramai. Jadi, saya kena cari chemistry dengan Wany.

"Wany banyak membantu sebab Kucuma adalah lagunya dan sangat mengharapkan pertolongan dia," katanya.

Wany percaya Afieq mampu memberi yang terbaik dalam menghidupkan lagu Kucuma menggantikan tempat Jamal. - NSTP/Nur Raihana Alia
Wany percaya Afieq mampu memberi yang terbaik dalam menghidupkan lagu Kucuma menggantikan tempat Jamal. - NSTP/Nur Raihana Alia

Afieq berkata, Wany dan guru vokal mereka menasihatkan agar menyanyi cara sendiri, bukan mengikut acuan Jamal.

"Saya takut dibayangi Jamal sebab ada kalanya, kita terikut-ikut dek lagu. Saya kena cari bunyi sendiri," katanya.

Afieq mengaku pada mulanya menolak tawaran menggantikan Jamal. Bagaimanapun, selepas banyak pihak percaya kemampuannya, perlahan-lahan dia memujuk diri untuk mencuba sesuatu yang belum pernah dibuat.

"Sebenarnya, saya tak mahu kerana fikir diri tidak layak. Saya beritahu kalau boleh, kita cuba cari artis lain. Malah, saya tolong cari penyanyi yang boleh menggantikan Jamal.

"Tetapi, apabila kita sibuk mencari artis, kita terpalit sekali.

"Namun, selepas diyakini pihak lain yang mahukan saya menggantikan Jamal, saya terima dengan hati terbuka," katanya.

AJL 38 akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, mulai jam 9 malam, Ahad ini dan strim secara eksklusif hanya di www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton.

Tema AJL 38 adalah Muzikaverse iaitu gabungan dua perkataan iaitu Muzik dan Multiverse. Ini menggambarkan gabungan dunia berbeza antara penyanyi, penulis lirik dan komposer dalam karya baharu.

AJL 38 menyaksikan 12 lagu bakal berentap merangkul gelaran Juara Lagu, vokal terbaik dan persembahan terbaik.

Peminat juga boleh mengundi dalam dua kategori iaitu persembahan terbaik dan Penyanyi Pilihan Alha Alfa.

Berita Harian X