Rabu, 28 Februari 2024 | 10:51am
Bila nampak kelibat arwah Abam dalam filem Tan-Ti-Ana, Hidayah sebak dan menjadi penawar kerinduan yang sekian lama dipendam. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Bila nampak kelibat arwah Abam dalam filem Tan-Ti-Ana, Hidayah sebak dan menjadi penawar kerinduan yang sekian lama dipendam. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Hidayah tak layan ada lelaki datang kedai, hantar mesej

KUALA LUMPUR: Selepas empat tahun pemergian suami tercinta, balu Allahyarham Abam, Siti Norhidayah Mohd Ali mengakui ada lelaki yang berminat berkenalan dan menjalinkan hubungan dengannya.

Bagaimanapun, tegas Siti Norhidayah atau lebih mesra disapa Hidayah, meskipun tidak menolak jodoh namun hingga saat ini pintu hatinya masih belum terbuka mencari pengganti arwah suami.

"Memang ada lelaki cuba mendekati dan ingin berkenalan. Ada yang datang ke kedai saya berniaga dan menghantar mesej peribadi dalam media sosial.

"Tapi, saya tak pernah layan. Saya terbuka dalam soal jodoh, tapi buat masa ini, saya memang tak berminat nak menjalinkan hubungan dengan sesiapa.

"Fokus saya mahu besarkan Hamzah (anak). Lagipun, selepas empat tahun pemergian arwah suami, sukar nak hilangkan bayangan dirinya.

"Arwah tetap di hati dan sukar untuk saya lupakan,"melupakannya," katanya kepada BH Online.

Mengulas ciri-ciri lelaki yang menjadi pilihan jika hatinya terbuka untuk kembali berumah tangga, Hidayah meletakkan syarat yang lelaki itu perlu menerima dan menyayangi anak lelakinya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, 4, seadanya.

"Kepada mana-mana lelaki yang ingin berkenalan dengan saya kenalah terima dan sayang anak saya juga.

"Itu adalah syarat yang perlu ada kerana saya kena dahulukan Hamzah daripada segala segi termasuk dalam soal jodoh," katanya ditemui selepas majlis tayangan filem Tan-Ti-Ana, di sini, malam tadi.

Filem bergenre seram komedi itu adalah antara lakonan terakhir arwah Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Ridzuan yang meninggal dunia pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.

Mengulas perasaan tatkala menonton filem lakonan arwah suami, Hidayah mengakui, hatinya tersentuh namun menyifatkan ia menjadi penawar kerinduan yang sekian lama dipendam.

Malah, Hidayah juga berpuas hati dan lega apabila filem yang terperap selama enam tahun itu akhirnya bakal ditayangkan di pawagam.

"Alhamdulillah selepas menonton filem ini, saya berpuas hati dan sangat terharu. Bila nampak kelibat arwah dalam filem ini, saya rasa sebak kerana wajah Hamzah saling tak tumpah macam wajah ayahnya.

"Tak dinafikan terubat juga rindu bila tonton filem ini," ungkapnya.

Meskipun tidak menolak jodoh, namun hingga saat ini pintu hati Hidayah masih belum terbuka mencari pengganti arwah Abam. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Meskipun tidak menolak jodoh, namun hingga saat ini pintu hati Hidayah masih belum terbuka mencari pengganti arwah Abam. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Pada majlis itu, Hidayah turut menerima sumbangan daripada penerbit filem itu, Dream At Work & NHF Production.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan terkini isu pembayaran hutang RM75,000 oleh pelawak Ali Puteh yang ditolak atas faktor keselamatan, Hidayah enggan mengulas lanjut dan lebih selesa menyerahkan perkara itu kepada peguam.

"Setakat ini, memang tak ada sebarang perkembangan terkini mengenainya. Saya pun tak ada apa yang boleh dikongsi.

"Segala perkara yang ada kaitan dengan isu ini, biarlah peguam yang jawab," katanya.

Pada 20 Februari lalu, Ali atau nama sebenar, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan hadir ke rumah Hidayah bagi melangsaikan tuntutan saman berjumlah RM75,000.

Bagaimanapun, urusan itu masih belum selesai apabila Hidayah meminta Ali membuat pembayaran menerusi peguam.

Terdahulu, pada 18 Februari 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Ali dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu dalam Instagram, dua tahun lalu.

Akibatnya, Ali terpaksa menjual tujuh trofi kemenangan bagi mendapatkan wang untuk melunaskan hutang bekas kakak iparnya.

Antara trofi dijual termasuklah trofi program realiti Maharaja Lawak Mega, Muzikal Lawak Superstar, Projek Komedi Warna dan beberapa lagi.

Selain itu, Ali turut menjual motosikal jenis RXZ berwarna merah dan kereta Honda Accord berwarna putih miliknya.

Berita Harian X