Selasa, 27 Februari 2024 | 5:31pm
Mahadi sudah bertemu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, pertahankan syarikat patuhi undang-undang. - Foto IG mahadibz
Mahadi sudah bertemu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, pertahankan syarikat patuhi undang-undang. - Foto IG mahadibz

Suami Heliza terkejut nama dalam senarai amaran pelaburan SC

KUALA LUMPUR: Suami kepada pengacara dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi iaitu Mahadi Badrul Zaman mengakui terkejut apabila namanya dalam senarai amaran pelaburan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Mahadi berkata, dia sudah mengambil langkah untuk mendapatkan pencerahan berhubung perkara itu.

"Saya sudah bertemu dengan pihak SC bagi membincangkan isu ini kira-kira jam 11 pagi tadi.

"Mungkin timbul salah faham, tetapi saya sedia berikan komitmen tidak berbelah-bahagi, berpegang kepada undang-undang dan etika perniagaan.

"Syarikat saya mematuhi undang-undang dan prinsip syariah," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Mahadi berkata, pihaknya juga dinasihatkan membuat permohonan secara rasmi untuk pengesahan selanjutnya.

"Sebagai maklum balas atas permintaan itu, saya akan berikan kerjasama kepada pihak SC dan bersedia untuk membuat pembetulan sekiranya terdapat keraguan yang mengakibatkan nama saya dalam senarai amaran pelaburan.

"Saya memahami punca tindakan berkenaan, mungkin berlakunya salah faham disebabkan hubungan baik saya dengan syarikat yang tidak disenaraikan seperti kenyataan SC.

"Selepas mendapat panduan daripada pegawai SC, saya terus mengarahkan wakil peguam hantar surat dan dapatkan maklumat lebih menyeluruh," katanya.

Sementara itu, Mahadi berkata, dia juga dilantik sebagai ejen rasmi beberapa entiti.

"Syarikat yang diuruskan sudah membuat serahan simpanan kepada pihak SC, selain bersetuju mematuhi prinsip syariah dan undang-undang.

"Saya ingin memberi jaminan kepada pelabur dan pihak berkepentingan bahawa komitmen saya terhadap ketelusan, pematuhan dan amalan perniagaan beretika tidak akan berubah.

"Saya akan selesaikan isu ini dan mengembalikan keyakinan serta reputasi perniagaan saya.

"Saya berterima kasih atas sokongan semua sepanjang tempoh mencabar ini," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial senarai nama Mahadi atau lebih dikenali sebagai Mahadi BZ.

Semakan pada laman web 'Investor Alert List' SC mendapati nama ahli perniagaan terbabit dan syarikatnya, AUF MBZ Consortium Plt berada dalam senarai teratas.

Laman SC itu mengemaskini senarai aktiviti pelaburan secara tidak sah sama ada melalui entiti mahupun individu.

Berdasarkan kenyataan di senarai itu, individu dan syarikat milik Mahadi menjalankan aktiviti pasaran modal tidak berlesen untuk berurus niaga dalam sekuriti berhubung dengan pemasaran saham syarikat awam tidak tersenarai.

Berita Harian X