Selasa, 27 Februari 2024 | 1:53pm
Abby terkejut dengan perubahan drastik Marissa sehingga mengambil keputusan nekad untuk berkahwin.
Abby terkejut dengan perubahan drastik Marissa sehingga mengambil keputusan nekad untuk berkahwin.

Aslam tak mampu berpoligami - Abby Abadi

KUALA LUMPUR: "Aslam bukan orang yang boleh berpoligami. Saya tak nampak sebab dia tak berkemampuan."

Demikian pandangan pelakon dan penyanyi, Abby Abadi mengenai Ahmad Aslam susulan dakwan pernikahan dengan anak perempuannya, Marissa Dania Hakim di Songkhla, Thailand pada 27 Disember lalu.

Abby menerusi video yang dimuat naik oleh usahawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri berkata, dia terkejut dengan perubahan drastik pada diri Marissa sehingga mengambil keputusan nekad untuk berkahwin.

"Keluarga lain tak tahu menahu pun dia (Marissa) berhubung dengan lelaki (Aslam) yang sekarang ini lah," katanya dalam klip video temu bual yang dimuat naik di Instagram (IG), hari ini.

Menerusi temu bual itu, Aliff bertanya kepada Abby sama ada dia akan menerima Aslam untuk berbaik atau sebaliknya.

Pada masa sama, Abby mengakui terkejut dengan perubahan yang berlaku kepada Marissa sehingga sanggup melakukan perkara di luar jangkaannya.

"Marissa dengan saya sejak kecil dan anak saya tak macam sekarang. Saya pun rasa macam ada rasa sesuatu yang membuatkan anak saya seperti berubah 360 darjah, macam bukan dia.

"Benda ini memang di luar jangkaan saya dan bapanya, Norman Hakim.

Kami sudah berhabis baik jaga anak, tapi tak tahu kenapa sampai ke tahap ini dia boleh buat," katanya.

Marissa (kiri) dan Aslam bersama isteri pertama Misya (kanan).
Marissa (kiri) dan Aslam bersama isteri pertama Misya (kanan).

Terdahulu, nama Marissa hangat selepas didakwa berkahwin secara senyap di Songkhla, Thailand dengan lelaki berstatus suami orang bernama Aslam.

Lelaki itu adalah individu sama yang pernah dikaitkan dengan Marissa pada tahun lalu mengenai hubungan sulit mereka.

Pada masa sama, kakak ipar kepada Aslam dikenali sebagai Nadiah, mengesahkan adik iparnya sudah berkahwin dengan Marissa pada 27 Disember lalu di Songkhla, Thailand.

Pasangan berkenaan dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam, Misya Mazlan yang ketika itu menunaikan umrah.

Pernikahan terbabit juga didakwa berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa.

Berita Harian X