Selasa, 27 Februari 2024 | 1:01pm
Wany tidak menafikan kehadiran Aishah membawa sinar kebahagiaan dalam hidupnya, tapi dalam masa tidak mudah membesarkan anak. - NSTP/Nur Raihana Alia
Wany tidak menafikan kehadiran Aishah membawa sinar kebahagiaan dalam hidupnya, tapi dalam masa tidak mudah membesarkan anak. - NSTP/Nur Raihana Alia

Wany 'struggle' anak sukar berenggang

KUALA LUMPUR: "Aishah adalah perkara paling indah yang terjadi dalam hidup, tapi tak menafikan saya 'struggle'," katanya.

Demikian kenyataan penyanyi, Wany Hasrita apabila ditanya mengenai kehidupannya selepas bergelar ibu kepada cahaya mata, Aishah Al Iman.

Wany tidak menafikan kehadiran Aishah membawa sinar kebahagiaan dalam hidupnya, tapi dalam masa tidak mudah membesarkan anak.

"Saya 'struggle' dan tidak menafikan perkara itu. Saya seronok dan ikut kata-kata ibu.

"Setiap kali ibu nampak saya lain, dia akan tepuk bahu saya dan katakan tak mengapa, ini jalan yang saya pilih dan kita semua sedang melalui kehidupan yang kita pilih.

"Tak selamanya kita bujang, sampai masa kita kahwin dan ada anak. Memang kalau itu takdirnya, kita kena jalani," katanya kepada BH Online.

Wany melahirkan Aishah pada Julai tahun lalu selepas mendirikan rumah tangga bersama juruterbang, Mohd Al Adib Fahmi pada 22 Julai 2022.

Wany kini sedang giat berlatih bersama Afieq yang menggantikan Jamal menerusi persembahan Kucuma di pentas AJL 38, Ahad ini. - NSTP/Nur Raihana Alia
Wany kini sedang giat berlatih bersama Afieq yang menggantikan Jamal menerusi persembahan Kucuma di pentas AJL 38, Ahad ini. - NSTP/Nur Raihana Alia

Kongsi Wany, kehidupannya sebagai ibu kini lebih mencabar apabila anaknya sukar berenggang.

"Ia mencabar bukan sebab suami jauh. Sebelum berkahwin pun kami memang jarang jumpa dan bila kahwin pun sama.

"Mula kahwin memang banyak kena sesuaikan diri, tapi lama kelamaan kami sudah sesuaikan diri, semuanya okay.

"Saya rasa yang mencabar sebab Aishah sekarang ada 'anxiety separation', saya nak pergi dapur pun dia menangis.

"Saya bawa juga Aishah duduk tepi. Misalnya, bila saya cuci pinggan, tapi tak sampai lima minit, dia minta dukung. Dari situ, saya belajar bersabar," katanya.

Bagaimanapun, Wany berkata, dia cuba menghadapi semuanya dengan positif dan belum ada perancangan untuk menetap di Sarawak bersama suaminya.

"Untuk sekarang susah disebabkan gaya hidup, jadi belum masanya lagi. Namun, penghujungnya memang isteri kena ada bersama suami.

"Jadi, saya akan bersama suami di Kuching, tapi buat masa sekarang, kerjalah sehabis baik, selagi masih ada 'job'," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio BH, semalam.

Berkongsi soal persiapan menjelang Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38 pada Ahad ini, Wany berkata, kini dia sedang giat berlatih bersama Afieq Shazwan yang menggantikan Datuk Jamal Abdillah menerusi persembahan Kucuma.

"Agak susah sikit meninggalkan anak untuk berlatih dan masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan keadaan di mana saya merasakan kena cari pembantu rumah juga.

"Tapi, Alhamdulillah semuanya okay. Kami pun sedang giat berlatih dengan cikgu vokal, Shaffiq Erwin dan dalam masa menjaga stamina sebab kami akan menari untuk persembahan Ahad ini," katanya.

Berita Harian X