Selasa, 27 Februari 2024 | 12:03pm
Afieq mulanya menolak tawaran FMC Music menggantikan Jamal kerana merasakan dirinya tidak layak, namun akan cuba yang terbaik. - NSTP/Nur Raihana Alia
Afieq mulanya menolak tawaran FMC Music menggantikan Jamal kerana merasakan dirinya tidak layak, namun akan cuba yang terbaik. - NSTP/Nur Raihana Alia

Afieq tak lena tidur, berkurung dua minggu demi AJL 38

KUALA LUMPUR: Penyanyi Afieq Shazwan tidak lena tidur dan hampir dua minggu tidak keluar rumah disebabkan tanggungjawab besar yang perlu dipikul atas pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38, Ahad ini.

Ia susulan Afieq atau nama sebenarnya, Mohammad Shafieq Shazwan Zamros diberikan tanggungjawab menggantikan penyanyi asal lagu Ku Cuma, Datuk Jamal Abdillah.

Afieq menyanyikan lagu ciptaan A Ramlee dan Ezra Kong itu bersama Wany Hasrita berkata, dia cuba menjaga dirinya dengan baik agar dapat memberikan persembahan yang memuaskan.

"Saya sejenis burung hantu, suka keluar malam, tapi ini sudah dua minggu tak keluar malam. Saya duduk rumah diam-diam, jadi anak soleh.

"Saya takut keluar malam bagi kesan di mana kita tak cukup rehat, tidur lambat, penat dan sebagainya.

"Tapi sebenarnya saya fikirkan pembabitan dalam AJL 38 sampai tidak tidur malam dan berat badan pun turun. Ramai bertanya kenapa kurus. Dua minggu ini makan pun tak selera.

"Saya mahu berehat secukupnya, rasa nak jumpa orang pun takut. Rasa macam cepatlah habis, saya nak kembali jadi Afieq Shazwan yang biasa," katanya kepada BH Online.

Afieq tidak menafikan tekanannya terlalu besar, lebih lagi, dia tidak pernah membuat persembahan di pentas AJL dan Ahad ini adalah pengalaman pertamanya.

"Saya tertekan sebab saya terlalu fikirkan untuk buat yang terbaik sebab ini adalah pentas AJL yang pertama. Walaupun nyanyi lagu orang, saya tetap rasa tekanan.

"Saya nak buat persembahan ini supaya orang kata persembahan ini tiada cacat. Ia susah sebenarnya.

"Jujurnya, pasal 'show' lain pun saya tak kisah, saya hanya fikirkan persembahan yang kena lalui, Ahad ini.

"Dengan saya baru lepas kemalangan, banyak benda kena hadapi, tapi ini adalah cabaran dan ujian saya. Mahu atau tidak saya kena hadapi dengan minda terbuka. Kita tengok macam mana aturan Allah," katanya ketika hadir sesi fotografi di Studio BH, semalam.

Afieq gantikan Jamal menyanyi lagu Kucuma duet bersama Wany di pentas AJL 38, Ahad ini. - NSTP/Nur Raihana Alia
Afieq gantikan Jamal menyanyi lagu Kucuma duet bersama Wany di pentas AJL 38, Ahad ini. - NSTP/Nur Raihana Alia

Afieq mengakui, mulanya menolak tawaran syarikat rakamannya, FMC Music untuk menggantikan Jamal kerana merasakan dirinya tidak layak.

Katanya, dia berat hati melihat jarak perbezaannya dengan Jamal agak jauh.

"Satunya ini bukan genre saya dan cara nyanyian Jamal memang berbeza. Lagi pula bila menyanyikan lagu orang lain, tekanannya berbeza berbanding menyanyikan lagu sendiri.

"Nak ubah pun saya rasa serba salah. Jadi, saya kena nyanyi dengan rasa hormat. Saya pun ada tengok nyanyian dan persembahan Jamal, tapi saya tak boleh ambil bulat-bulat cara nyanyiannya.

"Tapi, bila saya sudah cuba nyanyi, barulah perasan ada sikit 'stail' boleh disesuaikan dengan lagu. Insya-Allah, saya akan cuba yang terbaik," katanya.

Kini, Afieq dan Wany sedang giat berlatih menyanyi bersama guru vokal, Shaffiq Erwin dan dalam masa berlatih menari.

AJL 38 akan bersiaran langsung dari Axiata Arena Bukit Jalil pada Ahad ini, jam 9 malam di TV3 dan strim secara eksklusif hanya di www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton.

Tema AJL 38 ialah Muzikaverse, gabungan dua perkataan iaitu Muzik dan Multiverse di mana gabungan dunia berbeza antara penyanyi, penulis lirik dan komposer dalam mencipta sebuah karya lagu yang baharu.

AJL 38 menyaksikan 12 lagu bakal berentap untuk merangkul gelaran Juara Lagu, Tempat Kedua, Tempat Ketiga, Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik.

Penonton juga boleh mengundi untuk dua kategori iaitu Persembahan Terbaik dan Penyanyi Pilihan Alha Alfa pada malam kemuncak AJL 38.

Berita Harian X