Selasa, 27 Februari 2024 | 11:00am
Nor Hisham (lima kanan, berdiri) bersama peserta pendakian yang bakal mengibar Jalur Gemilang di Banjaran Himalaya, Nepal, mulai kelmarin hingga 13 Mac ini. - NSTP/Sadiq Sani
Nor Hisham (lima kanan, berdiri) bersama peserta pendakian yang bakal mengibar Jalur Gemilang di Banjaran Himalaya, Nepal, mulai kelmarin hingga 13 Mac ini. - NSTP/Sadiq Sani

Azhan tolak berlakon demi pendakian amal ke Everest

KUALA LUMPUR: Demi misi amal menakluk Everest Base Camp (EBC) dan Gunung Island Peak, Nepal, bagi membantu penghuni rumah perlindungan di bawah kelolaan Persatuan Kebajikan AHSANA, Azhan Rani sanggup menolak tawaran berlakon.

Selama setahun berlatih, Azhan menyusun jadual penggambaran dan komitmen seni lain agar perancangan untuk misi 18 hari di Nepal, lancar.

"Jadual saya agak ketat. Saya baru pulang dari Sarawak, Sabtu lalu dan hari ini (kelmarin), terbang ke Nepal.

"Penggambaran untuk drama Khunsa lakonan saya bagi siaran Ramadan, juga belum habis. Saya berterima kasih kepada syarikat produksi yang membenarkan saya sertai misi ini.

"Selepas pulang nanti, saya ada dua hari untuk selesaikan penggambaran drama Khunsa," katanya ditemui BH Online selepas majlis pelepasan atau 'flag off' program Pendakian Amal ke EBC dan Island Peak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, kelmarin.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad dan Pengurus Persatuan Kebajikan AHSANA, Ana Atikah Zainal Abidin.

Program Pendakian Amal SAR Ahsana ke Island Peak dan EBC Bersama Azhan Rani 2024 membabitkan 13 pendaki yang bakal mengibar Jalur Gemilang di Banjaran Himalaya, Nepal, mulai kelmarin hingga 13 Mac ini.

Mengikut perancangan, lima pendaki akan menawan puncak Gunung Island Peak, manakala lapan lagi melengkapkan misi ke EBC setinggi 5,364 meter atau 17,598 kaki dari aras laut.

Program amal anjuran Summit Attack Resources dengan kerjasama Kelab Kembara Kosmopolitan itu adalah cetusan idea Azhan.

Nor Hisham menyampaikan cenderamata kepada Azhan selepas majlis ‘flag off’ program Pendakian Amal ke EBC dan Island Peak di KLIA, Sepang, kelmarin. - NSTP/Sadiq Sani
Nor Hisham menyampaikan cenderamata kepada Azhan selepas majlis ‘flag off’ program Pendakian Amal ke EBC dan Island Peak di KLIA, Sepang, kelmarin. - NSTP/Sadiq Sani

Azhan mengaku pengalaman mendaki gunung sebelum ini mengurangkan rasa ketakutan menyertai misi kali ini.

"Saya mengalami situasi sebenar di Everest Base Camp pada 2019. Saya tahu situasi yang akan saya hadapi dan lebih bersedia dengan persiapan mengelak kemungkinan buruk.

"Cuma ketinggian kira-kira 6,000 meter ini bukan pendakian biasa kerana lebih taktikal. Ada trek di mana kita perlu guna cangkuk dan meniti tangga.

Itu adalah pengalaman baharu yang saya fikir manis jika dapat lalui," katanya.

Azhan berkata, setiap tahun, dia cuba keluar daripada zon selesa untuk mendaki gunung dan bergaul dengan individu yang bukan dalam kalangan penggiat seni atau lakonan.

"Saya rasa lebih segar untuk melakukan projek baharu selepas mendaki. Semangat itu ada 80 peratus dan selebihnya adalah fizikal.

"Saya perlu menghadapi keadaan ini. Dengan latihan dan pengalaman yang ada sejak setahun lalu, saya mampu sesuaikan diri.

"Kita tidak banyak latihan sebenarnya. Tahun lalu, kami pergi ke Jeju, Korea Selatan, selepas saya kemalangan motosikal untuk menguji diri berada di tempat yang sejuk dan bersalji di Gunung Hallasan.

"Sebelum itu, saya lakukan pendakian ekstrem di Bario, Sarawak, iaitu di Gunung Apad Runan selama lima hari. Selepas itu, kami pergi ke Gunung Kinabalu dan latihan terakhir adalah di Batang Kali, Selangor," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai anugerah atas produk dan kerjaya seni, Azhan berkata beliau tidak pernah bekerja untuk mendapatkan anugerah.

"Kalau orang bagi (anugerah) saya terima sahaja. Bagi saya, anugerah bukan keutamaan tetapi kekal relevan dan berfungsi dalam kerjaya itu lebih baik," katanya.

Berita Harian X