Isnin, 26 Februari 2024 | 4:31pm
Sherry mengaku berdoa agar jodoh sampai di setiap tempat doa mustajab yang diziarahi di Makkah dan Madinah. Foto IG Sherry Ibrahim
Sherry mengaku berdoa agar jodoh sampai di setiap tempat doa mustajab yang diziarahi di Makkah dan Madinah. Foto IG Sherry Ibrahim

Sherry berdoa ditemukan jodoh ketika tunai umrah

KUALA LUMPUR: Banyak perkara dihajatkan ketika pelakon, Sherry Ibrahim menunaikan umrah di Tanah Suci, akhir tahun lalu, termasuk soal jodoh.

Sherry mengaku berdoa agar jodoh sampai di setiap tempat doa mustajab yang diziarahi di Makkah dan Madinah.

Namun, pada usia 41 tahun, Sherry mengakui berserah kepada ketentuan Allah soal jodoh.

"Alhamdulillah, Allah permudahkan semua urusan saya ketika tunaikan umrah, akhir tahun lalu. Saya mahu pergi berdoa di Jabal Rahmah, namun, saya tidak sempat.

"Saya ada masa singkat, kurang dari 10 hari sebab saya buat sendiri atau 'DIY', tanpa pergi kursus, semuanya saya belajar di sana. Memang rasa sangat kerdil, tapi Allah Maha Besar, Allah permudahkan semuanya.

"Saya berhajat saya mahu berdoa di beberapa tempat dan Allah makbulkan. Di semua tempat mustajab itu saya doakan jodoh saya. Jadi kita tunggu sahaja jawapan dari Allah sebab itu semua rahsia Allah. Kita cuba yang terbaik, kalau ada jodoh... Insya-Allah," katanya ketika ditemui pada malam kemuncak Anugerah Telenovela Ke-9 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.

Sherry berkata, meskipun jodohnya lambat tiba, ia bukanlah sebab dia perlu bersedih. Sebaliknya, Sherry percaya semua itu adalah aturan Allah.

"Bukan tak hendak berkahwin. Namun, tidak mendirikan rumah tangga tidak berdosa kerana Allah menjadikan yang terbaik buat kita. Mungkin saya tiada jodoh di sini, jodoh saya di syurga nanti.

"Jadi saya sudah berserah. Mungkin ada hikmahnya, saya kena perbaiki diri dan jaga ibu bapa. Kita kena tengok dari sudut positif. Kalau dengar orang bertanya, memang kita terasa, sebab siapa yang tidak mahu berkahwin.

"Bukannya saya mahu 'single' selama-lamanya. Berpasangan sebelum ini semuanya tak jadi, nak buat macam mana? Bukannya saya tak keluar dengan orang tapi belum sampai waktu.

"Saya sudah 41 tahun, sudah biasa hidup macam ini. Saya ada kawan-kawan yang sayangkan saya. Keluarga termasuk peminat juga beri sokongan kepada saya,"

katanya.

Sherry juga menolak dirinya memilih pasangan, sebaliknya mahu teman hidup yang boleh memahami dan menjaga dirinya dengan baik.

"Kalau ada orang masuk meminang dan keluarga bersetuju dan saya fikir okay, saya terukan sahaja. Saya sudah doakan semua itu.

"Saya mahu cari orang yang mahu bersama saya ketika susah dan senang. Kita mahu cari orang yang sayang kita lebih sebenarnya.

"Wanita apabila sudah berusia lebih 40 tahun mahukan lelaki sebegitu. Jadi, saya mahu orang yang boleh menjaga saya... Tidak minat lebih. Hendak nikah, bawa cincin sahaja," katanya.

Berita Harian X