Ahad, 25 Februari 2024 | 5:54pm
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad (tengah) bergambar bersama pendaki pada majlis Flag-off Program Pendakian Amal SAR Ahsana ke Island Peak dan Everest Base Camp bersama Azhan Rani (kiri) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto NSTP/Sadiq Sani
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad (tengah) bergambar bersama pendaki pada majlis Flag-off Program Pendakian Amal SAR Ahsana ke Island Peak dan Everest Base Camp bersama Azhan Rani (kiri) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto NSTP/Sadiq Sani

Azhan Rani mula misi kibar Jalur Gemilang di Island Peak

SEPANG: Seramai 13 pendaki menggalas cabaran mengibarkan Jalur Gemilang di Banjaran Himalaya, Nepal bermula hari ini sehingga 13 Mac.

Lima pendaki akan menawan puncak Gunung Island Peak setinggi 6,160 meter dari aras laut, manakala lapan lagi akan melengkapkan misi ke Everest Base Camp (EBC) setinggi 5,364 meter.

Program pendakian amal anjuran Summit Attack Resources (SAR) dengan kerjasama Kelab Kembara Kosmopolitan adalah cetusan idea pelakon serba boleh, Azhan Rani yang bakal muncul dalam telemovie Khunsa pada Ramadan nanti.

Azhan berkata, setiap tahun beliau akan cuba keluar daripada zon selesanya untuk mendaki gunung dan bergaul dengan orang yang bukan dalam bidang lakonan

"Saya rasa lebih segar untuk melakukan projek baharu selepas mendaki. Semangat itu 80 peratus dan selebihnya adalah fizikal. Saya perlu menghadapi keadaan ini. Dengan latihan dan pengalaman yang ada sejak setahun lalu, saya mampu untuk menyesuaikan diri.

"Kita tak banyak latihan sebenarnya. Tahun lepas kami ada ke Jeju, Korea Selatan, selepas saya kemalangan motosikal untuk menguji diri saya sendiri di tempat yang sejuk dan bersalji di Gunung Hallasan.

"Sebelum itu saya ada lakukan pendakian yang agak ekstrem di Bario, Sarawak di Gunung Apad Runan selama lima hari dan selepas itu, kami ada ke Gunung Kinabalu dan latihan terakhir adalah di sebelah Batang Kali, Selangor," katanya ketika ditemui selepas Majlis 'Flag Off' Program Pendakian Amal Ke Everest Base Camp dan Island Peak di Lapangan Terbang Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad dan Pengurus rumah kebajikan, Persatuan Kebajikan AHSANA, Ana Atikah Zainal Abidin.

Objektif utama pendakian adalah untuk mengumpul dana bagi membantu rumah kebajikan, Persatuan Kebajikan AHSANA Kuala Lumpur di Puchong yang menempatkan orang kelainan upaya (OKU) dan autisme.

Ketua pendaki, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, berkata pendakian ke Island Peak selama 18 hari ini dijangka sangat mencabar kerana ia adalah pendakian teknikal di gunung bersalji.

"Kekuatan fizikal terutamanya sihat tubuh badan dan pengalaman diperlukan untuk mendaki gunung setinggi ini.

"Begitu juga dengan kelengkapan serta peralatan khas diperlukan bagi memastikan pendaki sampai ke puncak dan turun dengan selamat," katanya.

Berita Harian X