Ahad, 25 Februari 2024 | 3:34pm
Marissa (kiri) dan Aslam bersama isteri pertama Misya (kanan). Foto HM Online
Marissa (kiri) dan Aslam bersama isteri pertama Misya (kanan). Foto HM Online

Beri ruang kepada kami - Aslam

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua minggu berdiam diri, suami kepada pempengaruh Marissa Dania Hakim, iaitu Aslam, akhirnya berjaya dijejaki, namun, enggan memberi kerjasama kepada media.

Aslam ketika ditemui media tempatan bagaimanapun memohon ruang untuk mendamaikan masalah yang berlaku.

"Saya minta mana-mana pihak media untuk beri ruang kepada kami," katanya ringkas.

Ditanya mengenai dakwaan sudah bernikah dengan Marissa yang juga anak kepada pasangan selebriti Abby Abadi dan Norman Hakim, Aslam enggan mengulas lanjut.

"Saya tiada komen (sudah berkahwin dengan Marissa)," katanya.

Dalam masa sama, isteri pertama Aslam iaitu Misya Mazlan ketika ditemui juga enggan memberikan sebarang kenyataan lanjut.

Terdahulu, nama Marissa kembali hangat selepas didakwa berkahwin secara senyap di Songkhla, Thailand dengan lelaki berstatus suami orang bernama Aslam.

Lelaki itu adalah individu sama yang pernah dikaitkan dengan Marissa pada tahun lalu mengenai hubungan sulit mereka.

Pada masa sama, kakak ipar kepada Aslam dikenali sebagai Nadiah, mengesahkan adik iparnya sudah berkahwin dengan Marissa pada 27 Disember lalu di Songkhla, Thailand.

Pasangan berkenaan dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam, Misya Mazlan yang ketika itu menunaikan umrah.

Lebih dramatik, pernikahan terbabit berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa.

Bagaimanapun, sehingga hari ini Abby dan Norman masih kekal mengunci mulut tanpa mengesahkan atau menafikan pernikahan itu. - HM Online

Berita Harian X