Ahad, 25 Februari 2024 | 8:30am
Alya menyerahkan kunci kediaman kepada pengurus sebagai langkah berjaga-jaga jika insiden ‘tidur mati’ berulang. Foto IG Alya Iman
Alya menyerahkan kunci kediaman kepada pengurus sebagai langkah berjaga-jaga jika insiden ‘tidur mati’ berulang. Foto IG Alya Iman

Bahana 'tidur mati', anggota bomba ketuk pintu rumah Alya Iman

KUALA LUMPUR: Pelakon Alya Iman mendakwa mengalami masalah 'tidur mati' hingga rumahnya pernah didatangi anggota bomba yang menerima aduan daripada individu yang cuba menghubungi dirinya, berulang kali, namun, panggilan tidak berjawab.

Alya atau nama sebenar, Nur Alya Iman Azmil, 22, berkata dia berdepan masalah 'sleeping disorder' sejak kecil, namun, tidaklah kerap.

"Keadaan ini bukan disengajakan. Saya tahu, ada pihak kecam saya dan mendakwa saya menyusahkan kru produksi apabila lambat pergi ke set penggambaran.

"Fikirlah, kalau sengaja, tidaklah sampai anggota bomba datang ke rumah. Ketika itu, saya tidur lena dan apabila orang ketuk pintu berulang kali, saya tidak bangun... Mungkin ketika itu, saya terlalu letih.

Alya memberitahu keluarga dan individu yang mengenali dirinya secara rapat tahu masalah ‘sleeping disorder’ dialaminya itu. Foto IG Alya Iman
Alya memberitahu keluarga dan individu yang mengenali dirinya secara rapat tahu masalah ‘sleeping disorder’ dialaminya itu. Foto IG Alya Iman

"Namun, kadang-kadang terjadi insiden saya tidur biasa dan cukup, bukan tidur lambat. Namun, saya masih tidak sedarkan diri apabila tidur," katanya ditemui pada malam kemuncak Anugerah Telenovela Ke-9 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, Jumaat lalu.

Alya berkata, keluarga dan individu yang mengenali dirinya secara rapat tahu masalah 'sleeping disorder' dialaminya itu.

"Saya teringat, sebelum kes anggota bomba datang rumah, ada juga orang lain yang pernah datang dan pecahkan pintu rumah. Ketika itu, arwah ayah saya masih ada.

"Ketika kecil, saya pernah berjalan sambil tidur atau 'sleep walking' sampai 'temani' arwah abah tonton perlawanan bola sepak pada awal pagi," katanya.

Alya turut menafikan dakwaan segelintir pihak dirinya mengalami masalah tidur berikutan mengambil bahan terlarang.

"Saya perasan pelbagai spekulasi muncul apabila video yang menceritakan insiden anggota bomba datang rumah, dikongsi. Saya mahu tegaskan, saya tidak ambil apa-apa bahan terlarang," katanya yang berlapang dada menerima reaksi netizen akibat pengakuan itu.

Berikutan masalah tidur, Alya menyerahkan kunci kediaman kepada pengurus sebagai langkah berjaga-jaga jika insiden 'tidur mati' berulang.

"Saya juga menetap bersama teman baik, dia akan kejutkan saya jika terjadi apa-apa," katanya.

Berita Harian X