Sabtu, 24 Februari 2024 | 11:00am
Nisa, Asri dan Intan menimba pengalaman sebagai wartawan penyiaran sebelum mengendalikan tugas sebagai penyampai Buletin TV9. Foto NSTP Aziah Azmee
Nisa, Asri dan Intan menimba pengalaman sebagai wartawan penyiaran sebelum mengendalikan tugas sebagai penyampai Buletin TV9. Foto NSTP Aziah Azmee

Pikul amanah demi komuniti

KUALA LUMPUR: Bukan mengejar glamor, sebaliknya tiga penyampai Buletin TV9 mengakui terjun ke bidang kewartawanan demi mengejar impian dan minat sejak kecil.

Sebelum bergelar penyampai berita, Asri Badrun, Intan Syazwina dan Nisa Khir, masing-masing menimba pengalaman sebagai wartawan penyiaran tanpa langsung memasang angan-angan beraksi di hadapan lensa kamera.

Namun, rezeki tidak pernah salah alamat apabila mereka ditawar menjadi penyampai berita Buletin TV9 selepas melalui sesi uji bakat.

Jejaka berasal dari Melaka, Asri Badrun, 28, memulakan kerjaya sebagai guru bahasa Arab di sebuah sekolah rendah agama. Asri menceburi bidang kewartawanan lebih tiga tahun lalu sebagai wartawan penyiaran dan kini diberi amanah menjadi penerbit program bicara pagi, Malaysia Hari Ini (MHI).

Lebih setahun menjadi wartawan penyiaran, Asri mencuba nasib menyertai uji bakat pencarian penyampai berita sukan TV3, namun tidak disangka ditawar menjadi penyampai berita TV9 pada 2022.

"Ketika masih bersekolah, salah seorang ustaz suruh saya ambil bahagian penyiaran. Ustaz itu beritahu, teringin tengok wajah saya keluar di televisyen (TV).

"Namun, ibu bapa mahu saya menjadi agamawan atau guru agama. Disebabkan itulah saya dihantar ke sekolah aliran agama.

"Apabila tamat pengajian di sekolah aliran agama saya menjadi guru bahasa Arab selama lebih setahun sebelum berhenti.

Nisa, Asri dan Intan masing-masing mengejar impian dalam bidang penyiaran dan berusaha meningkatkan prestasi setiap masa. Foto NSTP Aziah Azmee
Nisa, Asri dan Intan masing-masing mengejar impian dalam bidang penyiaran dan berusaha meningkatkan prestasi setiap masa. Foto NSTP Aziah Azmee

"Kemudian saya menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa peringkat asasi di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) sebelum menyambung pengajian ke peringkat sarjana muda," katanya.

Sementara itu, bagi wanita kacukan Melayu-Arab, Nisa Khir, 29, dia tidak mahu dilabel mahu mengejar glamor apabila menjadi penyampai perita.

Nisa memilih menjadi wartawan penyiaran selama dua tahun di Astro Awani bagi mengutip pengalaman dan ilmu.

"Sejak kecil cita-cita saya hendak jadi wartawan tetapi apabila sambung pengajian di peringkat diploma, saya ambil seni reka fesyen. Namun, minat dalam bidang kewartawanan tidak pernah padam.

"Jadi, apabila sambung pengajian di peringkat sarjana muda, saya buat keputusan mengambil jurusan komunikasi massa," katanya yang mengikuti latihan amali di TV3.

Nisa mengakui pentingnya penyampai berita memiliki ilmu.

"Bukan sekadar tahu baca berita, sebaliknya kena ada pengalaman jadi wartawan," katanya.

Seorang lagi penyampai berita, Intan Syazwina, 27, memulakan kerjaya dalam bidang kewartawanan sebagai pelatih di Unit Berita TV9 dan TV3 selama setahun.

Bagaimanapun, Syazwina berkata, rezeki bersama Media Prima Berhad (MPB) tidak panjang apabila dia ditawar menjadi pegawai perhubungan awam di Balai Seni Negara.

Namun, sudah namanya rezeki, Intan ditawar menjadi penyampai berita separuh masa bersama TV9.

Bagi Syazwina, dia tiada masalah membahagikan masa kerana tugas sebagai penyampai berita hanya bermula pada sebelah malam.

"Saya seronok dengan kedua-dua pekerjaan yang dilakukan dan bersyukur kerana dikelilingi individu yang sangat baik dan sentiasa menyokong saya," katanya.

Berita Harian X