Jumaat, 23 Februari 2024 | 10:30am
Video menampakkan Marissa dan keluarga berkumpul di sebuah hotel, yang dimuat naik Norman dan Abby, malam tadi. - Foto IG Abby Abadi
Video menampakkan Marissa dan keluarga berkumpul di sebuah hotel, yang dimuat naik Norman dan Abby, malam tadi. - Foto IG Abby Abadi

Marissa kembali ke pangkuan keluarga

KUALA LUMPUR: Marissa Dania Hakim dilihat kembali ke pangkuan keluarga apabila ibu bapanya, Abby Abadi dan Norman Hakim dilihat berkongsi video mereka sekeluarga menghadiri promosi buffet Ramadan di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Tidak hanya Abby dan Norman, ibu tirinya, Memey Suhaiza juga dilihat berkongsi video sama. Dalam video berkenaan, mereka sekeluarga yang tampil sedondon dalam pakaian rona coklat dan kuning air, kelihatan gembira berkumpul bersama-sama.

Malah, Abby dilihat mendakap Marissa sambil merakamkan video bersama anak keduanya itu. Sementara Norman pula dilihat menyuapkan makanan ke mulut anak perempuannya itu dengan penuh mesra.

Abby dalam video yang dikongsikan menulis kapsyen ringkas 'Alhamdulillah', tampak gembira dan dilihat mengucup pipi anaknya itu. Marissa juga mengambil kesempatan mendakap dan mencium ibu serta turut memangku adik perempuannya dalam video berkenaan.

Bagaimanapun, kelibat suami Marissa, iaitu Aslam tidak kelihatan dalam hantaran itu.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengikut gembira melihat hubungan keluarga besar berkenaan yang kembali bertaut, malah, mereka meminta gadis berusia 19 tahun itu supaya tidak lagi meninggalkan keluarganya.

Selain itu, netizen memuji Abby dan Norman sebagai ibu bapa hebat dan menjadi contoh yang baik kerana tetap menyayangi anak biarpun berdepan ujian.

Tinjauan ke akaun instagram (IG) Marissa pula mendapati pempengaruh yang turut bergelar model sambilan itu sudah kembali mengikuti akaun IG ibu dan bapanya.

Pada 7 Februari lalu, Marissa yang juga anak kedua daripada tiga beradik, mencetuskan kontroversi apabila dikatakan bernikah secara rahsia dengan lelaki berstatus suami orang dikenali sebagai Aslam, di Songkhla, Thailand.

Pernikahan itu dikatakan berlangsung ketika isteri pertama Aslam, iaitu Misya Mazlan sedang mengerjakan umrah pada 27 Disember tahun lalu. Pendedahan dibuat disahkan kakak Misya, Nadiah Mazlan.

Pada September lalu kecoh dalam media sosial apabila Misya tampil membongkar dakwaan kisah kecurangan suaminya dengan Marissa.

Misya menerusi satu hantaran dalam media sosial mendedahkan Marissa didakwa menjadi penyebab utama dirinya diceraikan suami.

Namun, Aslam dan Misya mengambil keputusan rujuk semula ketika dalam tempoh edah.

Berita Harian X