Khamis, 22 Februari 2024 | 6:01pm
Nadhir tak tersinggung dilabel poyo, sebaliknya bertutur dalam bahasa Melayu atau Inggeris mengikut keadaan serta situasi. - Foto NSTP
Nadhir tak tersinggung dilabel poyo, sebaliknya bertutur dalam bahasa Melayu atau Inggeris mengikut keadaan serta situasi. - Foto NSTP

Nadhir jadi pengarah iklan raya Bulan Bintang

KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga tahun bergelar pelakon, hero yang semakin mencipta nama, Nadhir Nasar, 27, mula berjinak-jinak dalam dunia pengarahan.

Buat permulaan, juara pencarian bakat Hero Remaja 2020 itu, akan mengarahkan sebuah filem pendek untuk iklan raya jenama baju Melayu terkemuka Bulan Bintang.

Selain mengarahkan filem pendek, pelakon yang mula mencipta nama selepas kemunculan menerusi drama i-Tanggang: Mother Of All Lies itu juga berhasrat untuk menerbitkan buku dalam tempoh setahun atau dua akan datang.

"Saya memang suka menulis dan kerap menulis di aplikasi X. Malah, saya ada buku di rumah di mana saya tulis puisi dan apa sahaja cerita.

"Insya-Allah, dalam setahun dua lagi saya merancang menerbitkan buku. Pada aplikasi X saya agak aktif menulis," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nadhir menyangkal dakwaan dirinya 'poyo' apabila dikatakan lebih selesa berbual dalam bahasa Inggeris.

Nadhir akan mengarahkan filem pendek untuk iklan raya jenama baju Melayu terkemuka. - Foto NSTP
Nadhir akan mengarahkan filem pendek untuk iklan raya jenama baju Melayu terkemuka. - Foto NSTP

Bagaimanapun, Nadhir tidak tersinggung apabila dilabel sedemikian. Sebaliknya, Nadhir menjelaskan, dia bertutur dalam bahasa Melayu atau Inggeris mengikut keadaan dan situasi.

Akui jejaka ini, dia tidak pernah berasa dirinya hebat, sebaliknya, masih memperbaiki pertuturan dalam bahasa Inggeris, terutama daripada sudut penggunaan tatabahasa.

"Bagi saya, ia bukanlah satu isu besar. Saya selesa menggunakan dua-dua bahasa, iaitu Melayu dan Inggeris. Saya sangat mencintai bahasa dan kepada pengikut aplikasi X, mereka tahu saya gemar menggunakan bahasa Melayu sastera.

"Biasanya. saya akan guna sesuatu bahasa itu mengikut keselesaan dan keadaan majlis. Kalau saya fikir majlis itu memerlukan saya bercakap dalam bahasa Melayu, saya bertutur dalam bahasa Melayu dan begitulah sebaliknya," katanya.

Pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah ini tidak bersetuju jika ada yang melabel individu yang berbual dalam bahasa Inggeris sebagai berlagak dan sombong.

Sebaliknya, Nadhir anggap, amalan itu bagus untuk memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris, namun, pada setiap ketika, bahasa Melayu perlu diutamakan.

Berita Harian X