Khamis, 22 Februari 2024 | 12:55pm
Shakilla tidak mahu emosi Nur Ameena terjejas jika perbalahan antaranya dan Fizi berpanjangan. - NSTP/Faiz Anuar
Shakilla tidak mahu emosi Nur Ameena terjejas jika perbalahan antaranya dan Fizi berpanjangan. - NSTP/Faiz Anuar

Lagi cepat Fizi ambil Nur Ameena pun tak mengapa - Shakilla

SHAH ALAM: Enggan mengeruhkan keadaan, pelakon Shakilla Khoriri, 35, memberi keizinan kepada bekas suaminya, Fizi Ali untuk bertemu anaknya, Nur Ameena Sofia pada 1 Mac ini selama empat hari

Sebagai ibu, Shakilla tidak mahu emosi Nur Ameena terjejas jika perbalahan antaranya dan Fizi berpanjangan.

"Bila dia kata nak jumpa anak, saya gembira. Fizi akan ambil Nur Ameena pada 1 Mac ini. Sebagai ibu, saya biarkan Fizi ambil anak.

"Lagi cepat ambil anak pun tak mengapa. Saya pun tidak mahu lebih ramai terkesan dengan keadaan ini.

"Apa yang boleh saya katakan, keputusan ini untuk anak. Sekarang saya tak kisah orang lain.

"Saya kena lakukan ini untuk jaga kesihatan mental Nur Ameena. Saya tak mahu anak terkesan disebabkan kesalahan mak bapanya.

"Saya juga tidak mahu ia berpanjangan," katanya ditemui selepas sebutan pertama kes tuntutan hadanah kekal di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.

Shakilla bagaimanapun enggan mendedahkan mengapa tempoh pertemuan antara bapa dan anak hanya empat hari.

"Kenapa empat hari, saya tak boleh nak kongsi. Hanya dia (Fizi) tahu mengapa," ungkapnya.

Tambah Shakilla, dia mahu membawa anaknya bersama ke mahkamah untuk bertemu Fizi jika mengikut fikiran yang rasional.

Namun, katanya, hasrat itu terbantut disebabkan keadaan tidak mengizinkan.

"Kalau ikutkan hari ini saya nak bawa Nur Ameena bertemu bapanya, namun situasi tidak bersesuaian untuk anak yang baru berusia lima tahun.

"Kena bagi ruang untuk saya memperhalusi setiap keputusan dibuat demi kebaikan Nur Ameena," ujarnya.

Pun begitu, pelakon drama Bisik-Bisik Gelora itu memaklumkan kes hadanah itu masih belum selesai berikutan ada perkara yang tidak mencapai kata persetujuan antara defendan dan plaintif.

"Ada permintaan yang kita setuju, tapi tak boleh kata kes sudah selesai kerana ia akan berlangsung lebih lama," katanya lagi.

Untuk rekod, sebutan kes hadanah kekal yang difailkan Fizi akan disambung semula pada 19 Mei depan.

Pada 15 Disember lalu, Fizi memfailkan tuntutan hadanah terhadap Shakilla berhubung hak penjagaan Nur Ameena.

Katanya, tindakannya memfailkan hadanah bukan untuk berebut anak, sebaliknya mahu anak perempuannya itu mendapat kasih sayang yang sempurna.

Fizi dan Shakilla mendirikan rumah tangga pada 18 Januari 2018, namun bercerai pada Disember 2021.

Fizi kemudiannya menamatkan zaman duda dengan ibu tunggal anak satu yang juga ahli perniagaan, Siti Zulaikha pada 23 Oktober tahun lalu.

Berita Harian X