Khamis, 22 Februari 2024 | 11:55am
Fizi ditemani isterinya, Siti Zulaikha hadir sebutan pertama kes tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, hari ini. - NSTP/Faiz Anuar
Fizi ditemani isterinya, Siti Zulaikha hadir sebutan pertama kes tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, hari ini. - NSTP/Faiz Anuar

Fizi akhirnya dibenarkan bertemu Nur Ameena selepas 3 bulan

SHAH ALAM: Kerinduan penyampai radio, Fizi Ali terhadap anaknya bakal terubat apabila dibenarkan bertemu Nur Ameena Sofia, 5, selama empat hari pada 1 Mac ini.

Fizi atau nama sebenarnya, Mohd Hafizudin Alimudin, 37, memaklumkan keputusan itu dicapai menerusi hasil budi bicara bekas isterinya, Shakilla Khoriri, 35, selepas sebutan pertama kes tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.

Disebabkan terlalu gembira kerana sudah tiga bulan tidak bertemu permata hatinya itu, pelakon drama Di Sebalik Kasyah itu kelihatan sebak hingga mengalirkan air mata.

"Saya sangat gembira dan ingin ucapkan terima kasih kepada peguam kerana akhirnya saya dapat ambil Nur Ameena selama empat hari selepas tiga bulan tidak berjumpa.

"Terima kasih puan (peguam) sebab tolong saya dapatkan semula Nur Ameena walau hanya empat hari, tetapi saya sangat bersyukur.

"Alhamdulillah. tiada syarat diberikan. Semuanya atas budi bicara peguam," katanya kepada BH Online.

Fizi berkata, perkara pertama yang ingin dilakukan selepas bertemu Nur Ameena adalah membawanya ke taman tema air.

"Saya akan ambil cuti dan kami akan ke taman tema air, itu yang saya rancang. Saya tak sangka dapat peluang ini dan mahu bawa Nur Ameena bergembira.

"Saya juga mahu bawa Nur Ameena bertemu mak ayah kerana mereka sangat rindukan cucunya walaupun tidak meluahkan.

"Di rumah, emak pegang barang Nur Ameena. Kami sangat rindu.

"Perjumpaan empat hari ini adalah permintaan daripada saya. Apa yang berlaku saya serahkan pada peguam selepas ini," ujarnya.

Untuk rekod, sebutan kes hadanah kekal yang difailkan Fizi akan disambung semula pada 19 Mei depan.

Pada 15 Disember lalu, Fizi memfailkan tuntutan hadanah terhadap Shakilla berhubung hak penjagaan Nur Ameena.

Katanya, tindakannya memfailkan hadanah bukan untuk berebut anak, sebaliknya mahu anak perempuannya itu mendapat kasih sayang yang sempurna.

Fizi dan Shakilla mendirikan rumah tangga pada 18 Januari 2018, namun bercerai pada Disember 2021.

Berita Harian X