Khamis, 22 Februari 2024 | 10:05am
Fizi dan Shakilla hadir kes tuntutan hak penjagaan anak di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, pagi ini. - NSTP/Faiz Anuar
Fizi dan Shakilla hadir kes tuntutan hak penjagaan anak di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, pagi ini. - NSTP/Faiz Anuar

Fizi harap kes hak penjagaan anak selesai hari ini

SHAH ALAM: Penyampai radio, Fizi Ali berharap kes tuntutan hadanah terhadap bekas isterinya, Shakilla Khoriri berhubung hak penjagaan anak perempuan, Nur Ameena Sofia, 5, dapat diselesaikan cara baik, hari ini.

Fizi atau nama sebenarnya, Mohd Hafizudin Alimudin, 37, optimis pertemuan hari ini dapat mencapai kata sepakat yang dimahukan.

"Kalau semuanya dapat diselesaikan hari ini lebih bagus. Saya cuma mahukan Nur Ameena dapat kasih sayang daripada mak dan ayahnya.

"Saya sangat lega jika kes selesai hari ini, namun tunggulah keputusan mahkamah.

"Saya juga positif kes tuntutan hadanah ini dapat selesai dengan bantuan peguam," katanya ditemui BH Online di perkarangan Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, pagi ini.

Fizi tiba di mahkamah pada jam 9.20 pagi ditemani isteri, Siti Zulaikha dan peguam syarie, Nurhusniah Husin.

Sementara itu, Shakilla yang hadir mengenakan jubah warna krim dan bertudung hitam enggan memberi sebatang kenyataan.

Sebaliknya, pelakon drama Bisik-Biaik Gelora itu hanya mengadu yang dirinya kurang tidur.

"Saya okay, cuma kurang tidur," katanya yang tiba di mahkamah kita-kira jam 9.25 pagi.

Pada 15 Disember lalu, Fizi memfailkan tuntutan hadanah terhadap Shakilla berhubung hak penjagaan Nur Ameena.

Katanya, tindakannya memfailkan hadanah bukan untuk berebut anak, sebaliknya mahu anak perempuannya itu mendapat kasih sayang yang sempurna.

Fizi dan Shakilla mendirikan rumah tangga pada 18 Januari 2018, namun bercerai pada Disember 2021.

Berita Harian X