Rabu, 21 Februari 2024 | 4:03pm
Erra perlu membawa diri bersesuaian dengan konsep program NLKO, selain mencari keserasian dengan barisan penyampai lebih muda dalam tempoh singkat. - Foto IG Erra Fazira
Erra perlu membawa diri bersesuaian dengan konsep program NLKO, selain mencari keserasian dengan barisan penyampai lebih muda dalam tempoh singkat. - Foto IG Erra Fazira

Jangan bersikap tunjuk siapa lebih hebat - Erra Fazira

KUALA LUMPUR: Pada usia sudah 50 tahun, pelakon jolokan Primadona Filem Melayu, Erra Fazira bersyukur bakatnya masih diperlukan dalam industri seni.

Mungkin tawaran diterima tidak sebanyak jika dibandingkan ketika muda, namun wanita bertubuh tinggi lampai itu tetap berpuas hati dengan tawaran diterima pada usia separuh abad.

Baru-baru ini, ibu kepada seorang cahaya mata itu mendapat kepercayaan stesen TV9 untuk mengendalikan program bual bicara, Nasi Lemak Kopi O (NLKO) bergandingan dengan barisan pengacara muda.

Erra berkata, dia terkejut dilamar stesen TV9, tetapi membuat keputusan tidak menolak kerana berasa satu kerugian besar sekiranya berbuat demikian.

"Alhamdulillah, tawaran diterima nak kata banyak mungkin tidaklah, sikit pun tidak, tetapi ikut keselesaan serta tahap kemampuan saya.

"Saya bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan. Saya terima tawaran TV9 bukan sebab nak kejar populariti atau kepuasan.

"Dulu masa muda saya memang buat macam-macam kerja untuk cabar diri, tapi sekarang hanya 'go with the flow'.

"Nak kata tak perlu bekerja langsung pun tak boleh kerana saya berstatus ibu tunggal dan perlu cari makan," katanya yang ditemui pada majlis memperkenalkan hos baharu NLKO di Bangsar, baru-baru ini.

Biarpun dunia pengacaraan bukanlah asing buat bekas Miss Malaysia World 1992 itu, Erra yang pernah mengendalikan program Primadona dan Minggu Wanita mengakui NLKO berbeza daripada dua program kendaliannya sebelum ini.

Katanya, NLKO adalah program muda, menyerlah dan santai tidak seperti dua program kendaliannya yang lebih serius.

Erra bersama barisan hos baharu program NLKO yang bersiaran setiap Rabu hingga Jumaat, jam 10.30 pagi selama satu jam.
Erra bersama barisan hos baharu program NLKO yang bersiaran setiap Rabu hingga Jumaat, jam 10.30 pagi selama satu jam.

Justeru, Erra berkata, dia perlu membawa diri bersesuaian dengan konsep program berkenaan.

Namun, katanya, apa yang paling mencabar adalah mencari keserasian dengan barisan penyampai lebih muda dalam tempoh yang singkat.

"Mungkin ada antara mereka segan dan janggal dengan saya. Jadi, saya harus memikirkan cara bagaimana supaya kami nampak serasi di skrin televisyen ketika mengendalikan program NLKO.

"Walaupun sudah lama dalam industri, tapi saya bukanlah pengacara. Jadi kami kena saling membantu apabila mengendalikan program siaran langsung seperti NLKO.

"Saya mungkin kurang mahir menggunakan tatabahasa hebat kerana kelebihan saya mungkin mengendalikan program supaya nampak lebih santai.

"Jadi, mereka yang berlatar belakangkan pembaca berita dan penyampai radio inilah yang akan bantu dari sudut penggunaan perkataan betul.

"Bagi saya, kesepakatan sangat penting apabila dua pengacara mengendalikan sesuatu program, tidak boleh ada sikap caras atau nak tunjuk siapa lebih hebat.

"Dengan adanya kesepakatan barulah program akan lancar," katanya kepada BH Online.

NLKO kembali menemui penonton di stesen TV9 sejak 17 Januari lalu, pada setiap Rabu hingga Jumaat, jam 10.30 pagi selama satu jam.

Selain Erra, sembilan lagi hos yang ditampilkan dalam NLKO ialah Fizo Omar, Datin Heliza Helmi dan Fakhrul Radhi.

Ia turut dilengkapkan dengan penampilan personaliti TV dan wajah baharu seperti Barr Zaizan, Affizza Azmi, Saree Abdullah, Irfan Ali, Syamira Nazir dan Qila Shahirah.

Berita Harian X