Rabu, 21 Februari 2024 | 3:02pm
Alif kini tidak mahu bergerak solo, sebaliknya selesa bersama The Locos sebagai rakan seperjuangan dalam industri muzik. - Foto NSTP
Alif kini tidak mahu bergerak solo, sebaliknya selesa bersama The Locos sebagai rakan seperjuangan dalam industri muzik. - Foto NSTP

Alif Satar & The Locos jelajah UK, Perancis

KUALA LUMPUR: Dalam kerancakan menggerakkan kempen #GengSubuhMacamJumaat mengajak umat Islam menunaikan solat berjemaah di masjid, Alif Satar mengakui, tidak akan meninggalkan bidang nyanyian yang sudah diceburinya sejak usia belasan tahun.

Bagaimanapun, Alif berkata, dia kini tidak mahu lagi bergerak solo, sebaliknya selesa bersama The Locos dan menggunakan jenama Alif Satar & The Locos (ASTL) yang disifatkan sebagai rakan seperjuangan dalam industri muzik tanah air.

"ASTL akan rakamkan satu lagu baharu pada Ramadan ini. Saya sudah tak nampak diri saya sebagai penyanyi solo.

"Semua pergerakan saya sebagai penyanyi bersama The Locos selepas ini. Saya kekal dengan jenama ini," katanya kepada BH Online.

Penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Seperti Aku itu berkata, ada beberapa siri konsert di luar negara, sekali gus memberi impak positif terhadap perkembangan karier seni, tahun ini.

"ASTL akan menjalankan siri jelajah ke United Kingdom (UK) dan Paris, Perancis selama dua minggu bermula 20 April depan.

"Apa yang boleh saya kongsikan, kami akan tampil bersama seorang artis legenda di satu lokasi. Kemudiannya, ASTL meneruskan perjalanan siri jelajah kami ke Singapura," katanya.

Alif sedang menjalani penggambaran filem baharu genre aksi iaitu di luar kebiasaannya. - Foto NSTP
Alif sedang menjalani penggambaran filem baharu genre aksi iaitu di luar kebiasaannya. - Foto NSTP

Dalam perkembangan lain, Alif berkongsi, dia kini sedang menjalani penggambaran filem baharu genre aksi iaitu di luar kebiasaannya.

"Pada 8 Februari lalu, saya sudah mulakan penggambaran untuk filem berjudul Rezza arahan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

"Dalam 12 bulan terakhir ini, saya bintangi dua filem. Alhamdulillah, ini juga rezeki buat saya apabila diberi peluang membintangi filem," kata penerima trofi Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu.

Mengulas mengenai kempen #GengSubuhMacamJumaat, Alif berkata, dia bersyukur mendapat sambutan positif orang ramai sejak digerakkan pada November tahun lalu.

"Apabila kempen ini semakin berkembang positif, bahkan sudah menjadi satu gerakan yang dibuat sehingga di luar negara, saya rasa bersyukur sangat.

"Orang luar pun sudah mula nampak apa yang cuba dilakukan di Malaysia. Orang Singapura dan Brunei pun sudah mula turut serta," katanya.

Alif mula dikenali selepas berjaya mendapat tempat ketiga dalam program realiti, One in a Million musim pertama pada 2006 iaitu ketika berusia 16 tahun.

Memulakan kerjaya lakonan pada usia 14 tahun dalam produksi West End London untuk teater muzikal, Peter Pan The Lost Boys.

Berita Harian X