Rabu, 21 Februari 2024 | 1:02pm
Cakra mencuri tumpuan mendendangkan rangkaian lagu-lagu popularnya. - NSTP/Rohanis Shukri
Cakra mencuri tumpuan mendendangkan rangkaian lagu-lagu popularnya. - NSTP/Rohanis Shukri

Malam galau Cakra

KUALA LUMPUR: Bukan sekadar nyanyian untuk halwa telinga, sebaliknya Konsert A Decade Cakra Khan Live in Kuala Lumpur di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Sabtu lalu, menyajikan 'makanan' jiwa kepada peminat.

Banyak yang boleh dipelajari melalui konsert tiga jam yang dijayakan Cakra atau nama penuhnya, Cakra Konta Paryaman, 32.

Selain kebahagiaan dalam percintaan dan rasa kecewa akibat ditinggalkan pasangan, konsert itu mendidik peminat erti kasih sayang antara anak dan ibu.

Acara itu juga mengajar erti kehidupan melalui kehadiran tetamu undangan yang juga orang kurang upaya (OKU), iaitu penjual burger yang cukup meminati Cakra, Jaheerah Nadzri atau disapa sebagai Eerah.

Membuka tirai persembahan dengan lagu Mencari Cinta Sejati, kemunculan Cakra di pentas sederhana besar itu mendapat tepukan dan sorakan gemuruh penonton.

Lagu yang dicipta Melly Goeslaw untuk filem Rudy Habibie itu bagai menterjemah apa yang bersarang dalam hati Cakra, ketika itu.

Sebagai penyanyi yang banyak merakamkan lagu galau dan hubungan cinta yang tidak kesampaian, hampir semua dendangan Cakra berkonsep sama, antaranya Setelah Kau Tiada, Salah Tapi Baik, Kekasih Bayangan, Kepada Hati, Rindu Tak Bersuara, Broken Symphony dan banyak lagi.

Bagi individu yang pernah berkongsi rasa sama dengan lirik didendangkan, pasti terkenang duka dan rasa sakit hati apabila cinta yang disemai, putus di tengah jalan.

Bukan sahaja berkaitan putus cinta, malah kebanyakan lagu berkisar hubungan toksik serta penangan cinta bertepuk sebelah tangan, selain menjadi orang ketiga dalam perhubungan.

Namun, cinta sejati yang dicari penyanyi bervokal parau itu ditemui menerusi untaian indah berjudul Kamu Adalah.

"Akhirnya ada juga lagu cinta bahagia yang dapat saya nyanyikan untuk kalian semua," katanya sambil mengukir senyuman bermakna.

Ketika kali pertama menjayakan konsert solo di Kuala Lumpur di lokasi sama, September tahun lalu, persembahan Cakra malam itu turut disaksikan ibu tercinta.

Namun, Sabtu lalu, wanita tersayang itu tidak dapat hadir. Ketiadaannya memberi kesan emosi kepada Cakra yang diketahui cukup rapat dengan ibu.

Bagaimanapun, bagi memberi semangat buat si anak, ibu Cakra, Entik Trisuyatmi sempat menitipkan pesanan berharga melalui rakaman video yang ditayang di layar gergasi di pentas.

"Tahun lalu ibu saya datang menyaksikan konsert saya di sini dan malam ini, beliau tidak dapat hadir kerana menemani kakak yang ada urusan," katanya sebelum mendendangkan lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Boyz II Men berjudul A Sing For Mama.

Bagaimanapun, momen penuh emosi itu terganggu dengan celoteh pengarah muzik konsert, iaitu Datuk Ramli MS yang mengusik Cakra dengan jenaka yang tidak sesuai dengan situasi ketika itu.

Cakra memilih lagu Di Pintu Syurga yang menjadi kegemarannya berduet dengan Dayang. - NSTP/Rohanis Shukri
Cakra memilih lagu Di Pintu Syurga yang menjadi kegemarannya berduet dengan Dayang. - NSTP/Rohanis Shukri

Mungkin Ramli atau lebih dikenali sebagai Tok Ram cuba menjadikan persembahan malam itu ala Konsert David Foster and Friends apabila beliau sering berkomunikasi dan menyampuk penyanyi itu di pentas.

Hakikatnya, pendekatan itu tidak sesuai kerana ia adalah konsert solo Cakra. Ada ketika, momen itu menjadikan suasana kekok apabila Cakra gagal membalas balik komen spontan Ramli.

Cakra mengakui terkejut apabila kebanyakan soalan yang diajukan di pentas oleh maestro muzik itu berbeza dengan apa yang dirancang.

"Semua yang berlaku di pentas antara saya dan Ramli adalah spontan, malah soalan bila hendak kahwin yang diajukan itu, bukan dirancang awal.

"Dia sepatutnya bertanya soalan yang ada kaitan dengan lagu dan album baharu saya," katanya ditemui pada sidang media selepas konsert berakhir.

Konsert anjuran Seven Skies Motion itu turut menyaksikan Cakra berpadu suara dengan tiga penyanyi undangan iaitu Datuk Seri Rossa, Judika dan Dayang Nurfaizah.

Bersama Rossa yang sudah dianggap seperti kakak sendiri, Cakra berpadu suara menyanyikan lagu Terlanjur Cinta. Rossa meneruskan persembahan dengan lagu Lupakan Cinta dan Terlalu Cinta.

Untuk lagu duet bersama Dayang, Cakra memilih lagu Di Pintu Syurga yang menjadi kegemarannya. Dayang kemudian menghiburkan penonton dengan lagu medley Nak Dara Rindu dan Umpan Jinak Di Air Tenang yang dipetik daripada album Belagu II.

Berkongsi kehebatan vokal, Cakra bersama Judika memukau hampir 3,000 penonton dengan lagu Bukan Dia Tapi Aku. Judika kemudian tampil solo menyanyikan lagu Bagaimana Kalau Aku Tidak Baik Baik Saja.

Antara momen manis yang dirakam Cakra adalah apabila dia menyanyikan lagu Seluruh Cinta yang disampaikan secara duet dengan anak saudara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ummi Umairah atau Umai .

Meskipun baru berusia 13 tahun, kehebatan vokalnya mendapat pujian Ramli.

"Tunggu umur dia 16 tahun, dia akan jadi 'monster' (gergasi dalam dunia nyanyian)," katanya sebelum Umai beraksi.

Cakra turut mencuri tumpuan penonton apabila mendendangkan tiga lagu penyanyi Malaysia secara solo iaitu Malam Pagi dipopularkan Saixse yang digubah susunan muzik dalam bentuk Sunda, Mentera Semerah Padi (Datuk M Nasir) dan Khayalan (Black Dog Bone).

Berita Harian X