Selasa, 20 Februari 2024 | 11:00am
Mohd Uzir (tiga dari kiri) menunjukkan Buku Laporan Kajian Penggajian Pelakon Kanak-Kanak dan Orang Muda Dalam Filem dan Drama di Semenanjung Malaysia & Kajian Diaspora Malaysia di Brunei Darussalam, pada majlis pelancarannya di Putrajaya, semalam. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Mohd Uzir (tiga dari kiri) menunjukkan Buku Laporan Kajian Penggajian Pelakon Kanak-Kanak dan Orang Muda Dalam Filem dan Drama di Semenanjung Malaysia & Kajian Diaspora Malaysia di Brunei Darussalam, pada majlis pelancarannya di Putrajaya, semalam. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

'Artis cilik dianggap bukan pencari nafkah keluarga'

KUALA LUMPUR: Penggiat industri masih tidak memiliki kesedaran mengenai keperluan mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pelakon kanak-kanak dan orang muda.

Alasan diberikan syarikat produksi tiada keperluan berbuat demikian kerana usia pelakon cilik masih kecil.

Sebanyak 97.78 peratus syarikat penerbitan filem, drama dan seni tidak mencarum KWSP bagi pelakon kanak-kanak dan orang muda.

Dapatan itu diperoleh daripada Laporan Kajian Pengajian Pelakon Kanak-Kanak dan Orang Muda Dalam Filem dan Drama di Malaysia pada 2023.

Pembentangan kajian dilakukan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, di Jabatan Perangkaan Malaysia, semalam.

Mohd Uzir berkata, kebanyakan syarikat produksi melihat pelakon kanak-kanak dan orang muda bukan sebagai pencari nafkah keluarga.

"Selain tiada keperluan mencarum kerana usia masih kecil, alasan lain iaitu tidak dimaklumkan mengenai keperluan mencarum KWSP.

"Ada pula syarikat produksi beri alasan tidak menyedari keperluan mencarum KWSP kerana mereka pelakon sementara dan tidak tetap. Sebahagian lagi syarikat produksi beri alasan berdepan kekangan kewangan syarikat.

"Jumlah syarikat mempunyai kesedaran mencarum terlalu kecil iaitu hanya 2.22 peratus.

"Oleh itu, kekuatan dan akta dalam konteks ini perlu dipertingkatkan," katanya yang ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku Laporan Kajian Penggajian Pelakon Kanak-Kanak dan Orang Muda Dalam Filem dan Drama di Semenanjung Malaysia dan Kajian Diaspora Malaysia di Brunei Darussalam, semalam.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata, kajian itu hanya bersasar kepada pelakon kanak-kanak dan orang muda, tidak mewakili keseluruhan industri.

"Kajian ini adalah kajian bersasar yang meneliti senario pelakon kanak-kanak. Ia tidak boleh dijadikan satu generalisasi kepada keseluruhan sektor perfileman, drama dan seni.

"Bagi orang dewasa, kami yakin syarikat produksi melihat kekuatan akta dan keperluan untuk mencarum," katanya.

Dapatan itu diperoleh berdasarkan kajian dilakukan antara 8 Februari hingga 31 Disember tahun lalu membabitkan 361 syarikat menggajikan pelakon kanak-kanak dan orang muda dalam filem serta drama.

Selain itu, ia turut membabitkan 27 wakil setiap kementerian, jabatan, agensi, ahli akademik, persatuan majikan, kesatuan sekerja, penerbit televisyen, syarikat produksi, pengarah dan penerbit filem serta dan pelakon kanak-kanak.

Antaranya, Aziz M Osman, Fauziah Ahmad Daud dan beberapa pelakon lain.

Hasil dapatan kajian juga menunjukkan sebanyak 73.1 peratus syarikat produksi tidak mengetahui mengenai keperluan mendapatkan lesen hiburan awam sebelum menggajikan pelakon kanak-kanak dan orang muda.

Sementara itu, 52.9 peratus syarikat tidak pernah memohon lesen hiburan awam, manakala 47.1 peratus lagi tidak pasti dengan permohonan lesen berkenaan.

"Dapatan juga menunjukkan banyak syarikat produksi tidak memberikan penyata bayaran gaji atau upah kepada pelakon kanak-kanak dan orang muda yang digajikan.

"Syarikat produksi juga menyatakan pembayaran dibuat mengikut jumlah episod, babak dilakonkan dan rakaman alih suara.

"Kajian juga menunjukkan 59 peratus syarikat produksi melakukan penggambaran tidak menentu atau mengikut jadual yang ditetapkan," ujar Mohd Uzir.

Mohd Uzir memaklumkan simpanan dan pelaburan bagi memastikan jaminan hari tua pelakon kanak-kanak dan orang muda turut diambil kira.

Bagi mengatasi isu berkenaan, katanya, 63.4 peratus syarikat produksi setuju program pendidikan perburuhan perlu dipertingkatkan dalam memastikan pihak yang terbabit mempunyai kesedaran dan pengetahuan untuk mematuhi undang-undang buruh.

"Kajian ini berorientasikan kepada polisi bertujuan membantu pembuat dasar dan pemegang taruh yang terbabit.

"Dapatan ini dapat memberi kesan penting dari sudut praktikal dengan mengemukakan cadangan yang boleh dilaksanakan bagi membantu kementerian dan agensi berkaitan menambah baik dasar.

"Strategi dan inisiatif dicadangkan boleh dilaksanakan di peringkat nasional kerana ia bersifat praktikal dan ditanda aras dengan negara-negara lain," katanya.

Enam tumpuan strategik memperbaiki sistem pengajian meliputi 20 inisiatif dan 20 pelan tindakan khusus kepada pihak yang terbabit.

Ia termasuklah memperkasakan tahap pematuhan dan penguatkuasaan penggajian pelakon kanak-kanak dan orang muda dengan menyemak semula peruntukan dalam Akta 350 membabitkan penggajian.

Selain itu, melaksanakan program pendidikan perburuhan yang khusus dan membangunkan garis panduan dengan pihak yang terbabit dengan pengajian.

Menyebar luas program perlindungan sosial dengan menyemak semula pelan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan KWSP bersesuaian serta melaksanakan pendaftaran secara automatik kepada mereka yang layak mencarum.

Memperkasakan peranan ibu bapa, penjaga atau individu yang dilantik oleh ibu bapa atau penjaga dalam menguruskan pelakon kanak-kanak dan orang muda.

Menentukan perwakilan yang mewakili pelakon kanak-kanak dan orang muda, selain memperkukuhkan program pembangunan modal insan khusus bagi penggajian dan membangunkan pangkalan data bersepadu bagi rekod.

Berita Harian X