Isnin, 19 Februari 2024 | 2:53pm
Azhan (duduk kanan) bersama pendaki misi pendakian amal ke Island Peak dan EBC bergambar bersama kru SAR dan kelab Kembara Kosmopolitan selepas selesai sesi latihan. - Foto SAR
Azhan (duduk kanan) bersama pendaki misi pendakian amal ke Island Peak dan EBC bergambar bersama kru SAR dan kelab Kembara Kosmopolitan selepas selesai sesi latihan. - Foto SAR

Azhan Rani siap sedia galas misi pendakian amal ke Island Peak di Nepal

BATANG KALI: Berbaki lima hari lagi, pelakon Azhan Rani teruja untuk memulakan misi Pendakian Amal SAR Ahsana ke Island Peak & Everest Base Camp (EBC) di Nepal.

Azhan yang bakal muncul dalam telemovie Khunsa pada Ramadan nanti berkata, dia bersama pasukannya bersedia untuk menawan Gunung Island Peak setinggi 6,160 meter (m) atau 2,120 kaki dari aras laut tersebut walaupun masing-masing mempunyai rasa debaran kerana setiap pendakian itu mempunyai kisah tersendiri.

"Setelah lebih setahun merancang dan melakukan persediaan rapi, hari ini adalah sesi latihan intensif terakhir kami.

"Ia membabitkan sesi latihan kardio untuk kecergasan dan ketahanan fizikal serta sesi suai kenal bersama pendaki lain yang akan turut serta ke Island Peak serta EBC.

"Kami teruja kerana pendakian ini bukan misi peribadi tetapi ia adalah misi pendakian amal bagi mengutip dana untuk disalurkan tabung kepada Persatuan Kebajikan Ahsana Kuala Lumpur (Ahsana).

"Saya berterima kasih SAR, Kelab Kembara Kosmopolitan serta badan dan individu yang sama-sama menyumbang termasuk latihan fizikal dan kecergasan bagi menjayakan misi ini," katanya ketika ditemui pada sesi latihan intensif fasa akhir yang diadakan di Hillrock Resort, Kampung Sungai Hulu Tamu, di sini.

Sesi latihan yang meliputi "lower body and core workout" itu turut memerlukan pendaki melakukan larian sejauh lima kilometer.

Azhan (depan) bersama pendaki melakukan latihan kecergasan sebelum berlepas ke Nepal Ahad ini. - Foto SAR
Azhan (depan) bersama pendaki melakukan latihan kecergasan sebelum berlepas ke Nepal Ahad ini. - Foto SAR

Program Pendakian Amal SAR Ahsana ke Island Peak dan EBC Bersama Azhan Rani 2024 membabitkan keseluruhan 13 orang pendaki yang akan mengibar Jalur Gemilang di Banjaran Himalaya, Nepal bermula Ahad sehingga 13 Mac ini.

Lima pendaki akan menawan puncak Gunung Island Peak manakala lapan lagi melengkapkan misi ke EBC setinggi 5,364m atau 17,598 kaki dari aras laut.

Program amal anjuran Summit Attack Resources dengan kerjasama Kelab Kembara Kosmopolitan itu adalah cetusan idea Azhan.

Majlis 'flag off' kesemua pendaki tersebut akan dilakukan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad pada Ahad, jam 3 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Berita Harian X