Ahad, 18 Februari 2024 | 4:08pm
Cakra, Eerah dan bapanya berinteraksi di pentas konsert di KLCC, malam tadi. Foto NSTP Rohanis Shukri. NSTP/ROHANIS SHUKRI
Cakra, Eerah dan bapanya berinteraksi di pentas konsert di KLCC, malam tadi. Foto NSTP Rohanis Shukri. NSTP/ROHANIS SHUKRI

Cakra Khan bawa peminat istimewa ke pentas konsert

KUALA LUMPUR: Penyanyi Cakra Khan terharu dengan kehadiran peminat setia, Jaheerah Nadzri yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) menyaksikan Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam tadi.

Cakra berkata, kisah penuh inspirasi mengenai ketabahan Jaheerah atau Eerah membantu keluarga mencari rezeki dengan menjual burger, membuka matanya menjadi hamba Allah yang lebih bersyukur.

"Saya pernah melihat video Eerah meniaga burger bersama bapa yang dikongsi seorang teman. Di rumah, selepas habis kerja, saya tonton kembali video itu dan menarik perhatian saya.

"Ada banyak hal mengenai wanita ini yang membuatkan saya sedar, diri ini perlu banyak bersyukur. Perkara lain yang saya belajar daripada Eerah adalah kita sentiasa masih ada harapan.

KUALA LUMPUR 17 FEBRUARI 2024. Konsert Cakra Khan - A Decade Live In Kuala Lumpur di Plenary Hall, KL Convention Centre. NSTP/ROHANIS SHUKRI
KUALA LUMPUR 17 FEBRUARI 2024. Konsert Cakra Khan - A Decade Live In Kuala Lumpur di Plenary Hall, KL Convention Centre. NSTP/ROHANIS SHUKRI

Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). NSTP/ROHANIS SHUKRI
Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). NSTP/ROHANIS SHUKRI

"Dalam apa juga keadaan, kita masih boleh beri yang terbaik dalam kehidupan kita," katanya.

Berkongsi lanjut pertemuan dengan Eerah, penyanyi bersuara parau itu mengakui terkejut melihat kelibat wanita itu bersama bapanya, Nadzri Abdul Majid muncul di pentas. Apa yang diketahui Cakra, dua beranak itu memberitahu mereka terpaksa menolak undangan kerana berniaga.

"Sebelum ini, saya buat panggilan video dengan Eerah. Saya beritahu hasrat bertemu dengannya. Saya mengundang Eerah untuk datang ke konsert. Namun, permintaan saya itu tidak dapat dia tunaikan kerana sibuk berniaga.

"Tadi (semalam), saya beritahu penganjur bahawa saya mahu berjumpa Eerah di tempat dia berniaga. Namun, tidak dibenarkan kerana perlu berlatih untuk konsert.

"Ternyata saya sengaja diikat jadual sibuk kerana mereka merancang membuat kejutan dengan kehadiran Eerah. Ini kali pertama saya bawa insan istimewa naik ke pentas.

"Saya terbuka hati mengundang Errah ke pentas hendak beritahu semua bahawa kita sentiasa ada sebab untuk bersyukur. Dengan kehadiran Eerah, ia menjadi contoh terbaik untuk kita sedar bahawa kita semua punya harapan," katanya.

Ketika bertemu di pentas, Eerah membawa burger jualan untuk dihadiahkan kepada penyanyi pujaannya itu. Juadah itu kemudian dijamah Cakra sambil disambut tepukan gemuruh peminat.

Sebagai balasan, Cakra atau nama penuh, Cakra Konta Paryaman mendendangkan lagu istimewa buat Eerah iaitu Jangan Mudah Putus Asa.

Sebelum ini, kisah kejayaan Eerah menjadi ahli perniagaan biarpun dalam keadaan kurang sempurna membuka mata masyarakat hingga tular.

Sementara itu, konsert anjuran Seven Skies Motion itu turut menyaksikan Cakra berpadu suara dengan tiga penyanyi undangan iaitu Datuk Seri Rossa, Dayang Nurfaizah dan Judika.

Sepanjang tiga jam beraksi, penyanyi yang bakal meraikan ulang tahun ke-32 pada 27 Februari ini menghiburkan hampir 3,000 penonton dengan mendendangkan 20 lagu termasuk medley.

Antara lagu yang didendangkan adalah Mencari Cinta Sejati, Setelah Kau Tiada, Salah Tapi Baik, Kepada Hati, Rindu Tak Bersuara, Kamu Adalah, Kekasih Bayangan dan Harus Terpisah.

Tidak ketinggalan, Cakra menyanyikan lagu Seluruh Cinta yang disampaikan secara duet dengan anak saudara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ummi Umairah atau Umai .

Cakra turut mencuri tumpuan penonton apabila menyanyikan tiga lagu penyanyi Malaysia secara solo iaitu Malam Pagi nyanyian asal Saixse yang digubah susunan muzik dalam bentuk Sunda, Mentera Semerah Padi (Datuk M Nasir) dan Khayalan (Black Dog Bone).

Konsert solo kedua Cakra di Malaysia itu turut diiringi orkestra di bawah pimpinan maestro muzik, Datuk Ramli MS.

Berita Harian X