Ahad, 18 Februari 2024 | 8:39am
Fasha dan Nora masing-masing tidak mahu lagi mengenang peristiwa hitam antara mereka dan menjadikan insiden itu sebagai pengalaman hidup. Foto NSTP Genes Gulitah
Fasha dan Nora masing-masing tidak mahu lagi mengenang peristiwa hitam antara mereka dan menjadikan insiden itu sebagai pengalaman hidup. Foto NSTP Genes Gulitah

Nora, Fasha berbaik secara semula jadi tanpa paksaan sesiapa

KUALA LUMPUR: "Kami mahu lupakan semua sengketa lama kerana tidak penting untuk diingati lagi," kata pelakon jelita, Nora Danish ketika diminta mengulas hubungannya dengan Fasha Sandha, ketika ini.

Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif, 42, berkata, hubungannya dengan Fasha kini baik-baik sahaja.

Jelasnya, dia juga tidak mahu lagi mengenang peristiwa hitam antara mereka dan menjadikan insiden itu sebagai pengalaman hidup.

"Allah SWT sebaik-baik perancang, kami memang jarang bertemu. Tapi, menerusi produk Inayah Beauty ini kami dapat berjumpa dan ada hikmah di sebaliknya. Anak kami juga adalah adik-beradik.

"Sebenarnya, kami sudah lama berbaik. Perselisihan faham yang berlaku dulu juga ketika kami masih muda, masih mentah dan belum matang.

"Kalau kejadian itu tidak berlaku, macam mana kami akan berbaik sebegini. Pengalaman memang satu perkara yang penting untuk menjadikan kita lebih baik," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada acara zumba bersama pelakon Nora Danish dan Elisya Sandha di sini, semalam.

Pada acara itu, Nora dan Elisya turut diumumkan sebagai duta makanan tambahan iaitu Gattox keluaran Inayah Beauty. Hadir sama di acara itu, Fasha, Adira Suhaimi dan Watie Hanifiah.

Mengenai hubungannya dengan Fasha lagi, kata Nora, dia akui mengambil masa untuk melupakan perselisihan faham yang pernah terjadi antara mereka sebelum ini.

Namun, katanya, dia percaya dengan setiap dugaan daripada Allah itu pasti ada hikmah-Nya.

"Bagi saya, masing-masing ada silap dan khilaf. Dulu kami terlalu mentah, hanya fikir perkara yang negatif saja. Dugaan yang Allah bagi itu perlu reda dengan segala yang terjadi. Alhamdulillah, saya sendiri mengambil masa, namun inilah yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan pula berkata, perasaan untuk berbaik dengan Nora timbul secara semula jadi tanpa didorong mana-mana pihak.

Katanya, mereka memang jarang berjumpa dan kalau jumpa pun mungkin setahun sekali kerana masing-masing sibuk dengan urusan kerja dan keluarga.

"Namun, pengalaman sebelum ini banyak mengajar kami berdua kerana akhirnya berjumpa dengan lelaki yang tepat (suami sekarang) dan 'soulmate' sebenar.

"Hubungan kami juga menjadi baik secara semula jadi tanpa paksaan orang lain. Saya juga pernah berasa takut jika Nora masih ada simpan perasaan marah lagi tetapi ia sebaliknya," katanya.

Selain itu, kata Fasha lagi, tiada sebab untuk mereka terus bermasam muka kerana mempunyai anak daripada darah daging (suami) yang sama.

"Ada satu masa, saya tengok Nora masih ikut (follow) saya di akaun Instagram dan kenapa saya perlu rasa 'bitter' pula kan? Hati Nora sangat baik. Walaupun kami bukan berkawan baik tetapi kami adalah sebuah keluarga," katanya.

Berita Harian X