Sabtu, 17 Februari 2024 | 11:00am
Dharma masih menerima tawaran lakonan, namun terpaksa menolak disebabkan tahap kesihatannya tidak mengizinkan. - NSTP/Asyraf Hamzah
Dharma masih menerima tawaran lakonan, namun terpaksa menolak disebabkan tahap kesihatannya tidak mengizinkan. - NSTP/Asyraf Hamzah

Mahu pulih ingatan, Dharma tonton semula filem lama

KUALA LUMPUR: Sejak diserang angin ahmar pada 2019, segala-galanya berubah buat pelakon popular era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid, 68, Bintang veteran ini tidak lagi mampu bekerja dan menyara anak yang masih belajar hingga berdepan kepayahan hidup.

Makin terhimpit, Dharma tidak malu mengakui dia dan dua anaknya, Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, sudah diberi notis mengosongkan rumah yang didiami di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, daripada pemilik.

Dharma berkata, mereka diminta mengosongkan rumah pada 31 Mac depan selepas mempunyai tunggakan sewa selama hampir lapan bulan. Hutang itu tidak mampu diselesaikan, sekali gus menambah masalah kewangan dihadapi.

"Saya tidak sangka perkara ini berlaku kepada saya dan anak-anak. Kalau boleh, kami tidak mahu meminta-minta daripada sesiapa. Ini adalah pertama kali dalam hidup saya berlaku perkara seperti ini.

"Tetapi hendak buat macam mana? Ini adalah nasib saya dan aturan yang sudah ditentukan Allah kepada kami sekeluarga. Untuk saya terima apa-apa tawaran lakonan, memang agak sukar sekarang.

"Ada sahaja yang menawarkan, tetapi saya tidak mampu kerana masalah kesihatan ini membuatkan saya tidak boleh berdiri lama dan menghafal skrip. Hendak bercakap pun ada masanya susah," katanya ditemui pada program Ziarah Madani bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Ahmad Farhan Fauzi di kediamannya di Wangsa Maju, kelmarin.

Dharma yang muncul di layar perak buat kali pertama menerusi filem Adik Manja pada 1980 berkata, beliau masih menerima tawaran lakonan, namun terpaksa menolak disebabkan tahap kesihatannya tidak mengizinkan.

"Penerbit seperti Datuk Yusof Haslam dan Richard Ung ada panggil untuk berlakon. Saya terpaksa tolak sebab tidak boleh berdiri lama dan pinggang tidak berapa kuat.

"Tetapi, kalau ada watak yang sesuai dan mampu dijayakan, mungkin saya akan ambil sebab jiwa masih lagi dalam bidang lakonan.

"Seingat saya, kali terakhir berlakon lebih 10 tahun lalu," katanya.

Dharma mengakui masih mengalami beberapa kesan sampingan seperti kesukaran bertutur dan mengingati sesuatu termasuk menghidap asma.

"Sekarang saya susah hendak ingat apa-apa. Kadang-kadang, saya tahu perkara itu, tetapi hendak cakap susah.

"Jadi, untuk karier seni, saya tidak boleh mengarah atau berlakon. Saya perlu ikut sahaja apa diarah dan berusaha untuk ingat sesuatu.

"Doktor nasihatkan untuk paksa dan buat latihan menguatkan memori saya. Disebabkan itu, saya tengok semula filem-filem lama," katanya.

Dharma diminta mengosongkan rumah selepas mempunyai tunggakan sewa selama hampir lapan bulan, sekali gus menambah masalah kewangan dihadapi. - NSTP/Asyraf Hamzah
Dharma diminta mengosongkan rumah selepas mempunyai tunggakan sewa selama hampir lapan bulan, sekali gus menambah masalah kewangan dihadapi. - NSTP/Asyraf Hamzah

Anak Dharma, iaitu Muhammad Al Syafiq berkata, kehidupan mereka sekeluarga berubah 180 darjah selepas perjanjian yang dibuat sebuah stesen televisyen (TV) tempatan untuk membeli program berunsur keagamaan yang diterbitkan bersama bapanya, didakwa dibatalkan walaupun sudah mempunyai kontrak.

Syafiq mendakwa selepas ditayangkan pada 2022, stesen TV terbabit membuat perjanjian untuk membeli dan mendapatkan hak milik program terbitan mereka itu dengan menawarkan sebanyak RM360,000.

Dengan tawaran menggembirakan itu, Syafiq berkata, mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah baharu, iaitu yang didiami, sekarang, malah dia bersama kakaknya tidak berfikir panjang untuk melanjutkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Namun, disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari, Syafiq berkongsi, secara tiba-tiba stesen TV terbabit tidak lagi berminat mendapatkan hak milik program berkenaan atas faktor tertentu, sekali gus menyebabkan kehidupan mereka goyah.

"Saya sedang dalam pengajian peringkat asasi dan kakak pula ijazah sarjana muda. Kami tidak digalak berhenti oleh pensyarah disebabkan keputusan yang diperoleh cemerlang.

"Jadi, apabila pensyarah minta habiskan, saya perlu cari kerja separuh masa pada waktu petang selepas selesai kelas. Tetapi, gaji yang diterima kecil, saya hanya mampu bayar bil elektrik dan air sahaja.

"Sekarang, kami pening sebab kalau keluar, tiada rumah untuk didiami. Jadi, sekarang kami sedang berusaha apa yang boleh dengan menghantar kertas cadangan dan 'pitching' di stesen TV lain," katanya.

Sejak mula terbabit dalam dunia seni pada era 1980-an, Dharma membintangi banyak filem 'box office' antaranya Sikit Punya Gila, Langit Petang dan Aku Yang Berhormat.

Dharma turut membuat kemunculan pertama dalam filem Hollywood, Fifty/Fifty pada 1992 dan Anna and The King pada 1999.

Watak Cikgu Azmi dalam filem Adik Manja yang ditayangkan pada 1980 masih diingati hingga hari ini.

Antara lagu popular pernah dirakam ketika zaman kegemilangan adalah Jika Kau Bermimpi Aku Di Disisimu, Baru Kini Cinta Dipadu dan Hanya Dikau.

Berita Harian X